Malaysia Oversight

Pengasas bersama MYAirline diarah pulangkan lebih RM8 juta pada pelabur

By MkiniBM in September 9, 2025 – Reading time 2 minute
Pengasas bersama MYAirline diarah pulangkan lebih RM8 juta pada pelabur


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pengasas bersama MYAirline Sdn Bhd, Datuk Allan Goh Hwan Hua dan empat syarikat yang dikaitkan dengannya memulangkan lebih RM8 juta kepada 15 pelabur selepas gagal membayar penebusan bulanan serta pulangan pembiayaan pelaburan.

Hakim Leong Wai Hong membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif iaitu pelabur terbabit berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Goh dan empat syarikat berkenaan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Mahkamah memerintahkan defendan memulangkan semula sebanyak RM7.61 juta dan SGD170,000 kepada pelabur,” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan kos RM100,000 dibayar secara bersama atau berasingan oleh Goh dan defendan lain iaitu I-Serve Online Mall Sdn Bhd (ISOM), Bright Moon Venture PLT (BMV), QA Smart Partnership PLT (QAS) serta Trillion Cove Holdings Bhd (TCH).

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 21 Julai 2022, semua plaintif mendakwa defendan gagal membuat pembayaran itu dari November 2021 hingga Jun 2022, walaupun sudah menghantar surat tuntutan melalui peguam mereka.

Plaintif berusia antara 58 hingga 74 tahun itu turut menamakan Goh sebagai pengasas bersama dan pemegang saham terbesar MYAirline Sdn Bhd, dan keempat-empat syarikat berkenaan didakwa melanggar kewajipan fidusiari mereka serta hendaklah bertanggungjawab secara peribadi atas kerugian yang dialami oleh pelabur.

Mereka mendakwa Hwan Hua, ketika mengeluarkan pelbagai notis, arahan dan mengadakan telesidang, memberi jaminan bahawa isu yang dihadapi oleh ISOM tidak akan memberi kesan terhadap pulangan bulanan pelabur.

Semua plaintif turut mendakwa ISOM, TCH dan dua lagi syarikat yang terbabit diserbu Bank Negara pada 11 November 2021 dan perintah pembekuan dikeluarkan terhadap semua syarikat.

Sehubungan itu, mereka menuntut antara lain pembayaran balik harga langganan RM8 juta dan pembayaran tunggakan penebusan bulanan serta faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas mana-mana jumlah penghakiman yang diberikan.

– Bernama



Source link