Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan individu dipercayai menghantar mesej ugutan kepada seorang petugas di fasiliti gas asli cecair (LNG) milik Petronas di Bintulu, Sarawak, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata PDRM dalam proses mengenal pasti pemilik nombor telefon yang digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berkenaan.
“Usaha sedang dijalankan untuk menjejaki pengirim ugutan tersebut. Dari aspek keselamatan, kawalan di lokasi akan terus dipertingkat sepanjang operasi dijalankan.
“Siasatan masih dijalankan kerana nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej itu juga sedang dikenal pasti,” katanya ketika ditemui pada Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) ke-6 di Kuala Lumpur hari ini.
Media semalam melaporkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu mengetatkan kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman yang diterima.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap ancaman berkenaan.
Sementara itu, sebanyak 280 peserta terdiri daripada pengamal, pegawai penyiasat, ahli akademik dan pakar forensik dari pelbagai agensi penguat kuasa dihimpunkan pada NAFSLE yang berlangsung hari ini hingga Khamis dengan tema Science Meets Justice: Powered by AI.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penganjuran simposium itu merupakan platform utama bagi perkongsian ilmu, kemahiran dan kepakaran sains serta teknologi forensik, khususnya dalam mendepani cabaran landskap jenayah yang semakin kompleks.
“Simposium ini menumpukan kepada sesi dialog dan perkongsian idea mengenai inovasi sains forensik, terutama dalam mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem keadilan jenayah negara.
“Dengan kehadiran para cendekiawan, pengamal dan pakar forensik daripada pelbagai jabatan serta institusi, ia memberi impak besar dalam memantapkan siasatan, pendakwaan dan operasi penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam ucapan perasmian majlis itu hari ini.
Ayob Khan berkata keupayaan fasiliti teknologi forensik yang moden dan canggih amat penting bagi memastikan agensi penguat kuasa mampu menandingi trend manipulasi jenayah yang semakin rumit di peringkat global.
NAFSLE yang dianjurkan sejak 2019, adalah inisiatif JSJ Bukit Aman dengan pengelolaan secara bergilir oleh Bahagian Makmal Forensik (D10) dan Bahagian Siasatan Databank DNA (D13).
Ayob Khan turut menyatakan harapan agar penganjuran simposium itu dapat dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan penguatkuasaan undang-undang, sekali gus menjamin kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan negara.
Turut hadir pada majlis perasmian itu hakim Mahkamah Rayuan Azman Abdullah dan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Adlin Abdul Majid.
– Bernama