PUTRAJAYA: Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad,40, menegaskan dirinya belum bersedia untuk mencari cinta baharu dan masih selesa dengan status duda yang dipegang kini.
Malah, Sharnaaz berseloroh bahawa dia tetap mahu kekal sebagai ‘Presiden Duda Terhangat di Malaysia’ sekurang-kurangnya buat masa ini.
“Sebagai Presiden Duda Terhangat di Malaysia, saya masih belum mahu lagi (mencari cinta). Saya tamak dengan ‘jawatan’ saya. Saya nak pegang, mungkin satu penggal, mungkin sepuluh penggal lagi.
“Tak adalah, itu semua (jodoh) Allah yang tentukan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media filem Magik Rompak di GSC, IOI Putrajaya, di sini, semalam.
Sharnaaz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakan artis, Fattah Amin, yang mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon, Amira Othman, setelah hampir setahun bergelar duda.
Mengulas lanjut, Sharnaaz mengakui, soal jodoh adalah ketentuanNya dan jika sudah tina waktunya, dia tidak menolak untuk kembali berumah tangga.
“Kalau ada jodoh, boleh saja nak menikah, tak ada masalah. Tapi buat masa sekarang, Tuhan dah bagi saya macam-macam, rezeki, kesihatan, dan anak yang menjadi penghibur saya.
“Jadi saya rasa, kalau Tuhan nak bagi jodoh, Dia akan bagi pada masa yang sesuai,” katanya.
Selain itu, ditanya sama ada dirinya sedang didekati seseorang yang istimewa, Sharnaaz tidak menafikan perkara itu.
Bagaimanapun, pelakon ini menegaskan semuanya masih di peringkat berkawan.
“Terus-terang saya cakap, ada yang cuba mendekati, malah ada juga yang saya cuba dekati. Tapi setakat ini, lebih baik berkawan sahaja.
“Kalau nak cakap serius, memang tak ada. Kalau ada nanti, saya akan beritahu,” katanya lagi.
Pelakon kelahiran Pulau Pinang itu juga berkata, walaupun ada kalanya berasa sunyi terutama ketika sakit atau melalui masa sukar, dia tetap bahagia dengan kehidupannya kini.
“Bila sakit, masa susah, itu waktu kita perlukan teman. Tapi kalau tidak, saya okey sahaja. Hidup saya sekarang dah cukup lengkap dengan anak saya.
“Dia panggil ‘Baba! Baba!’ pun dah buat hidup saya rasa bahagia. Jadi, syukur Alhamdulillah dengan apa yang ada.
“Tak ada terburu-buru pun soal kahwin lagi ini. Buat masa sekarang, saya lebih tenang dengan kehidupan macam ni,”katanya.
Dalam pada itu, menerusi filem Magik Rompak, Sharnaaz membawakan watak Hadini dan bergandingan dengan barisan pelakon hebat lain termasuk Zul Ariffin, Amelia Henderson, dan Nadhir Nasar.
Filem arahan Adrian Teh tersebut bukan sekadar menampilkan aksi mendebarkan tetapi juga gabungan elemen magis yang jarang diterokai dalam filem tempatan.
Filem ini mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 11 September 2025.-UTUSAN