IPOH: Tiada budaya ‘kapla’ atau gengsterime wujud di asrama-asrama sekolah negeri ini yang dianggap pencetus utama kejadian buli, di sebalik kerisauan masyarakat tentang gejala tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah bagaimanapun mendedahkan statistik kes buli yang berlaku di sekolah-sekolah negeri ini iaitu 85 kes pada tahun 2024 manakala 49 kes bagi tahun ini sehingga Ogos.
Katanya, bagi tahun 2024, 23 kes buli berlaku di asrama, sembilan di luar sekolah manakala 53 di sekolah.
Bagi tahun 2025 pula sehingga Ogos katanya, 14 kes buli berlaku di asrama, tiga di luar sekolah manakala 32 di sekolah.
Namun beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan maklumat yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiada budaya ‘kapla’ atau gengsterisme yang wujud di asrama sekolah negeri Perak.
“Kes-kes buli yang berlaku adalah akibat perasaan tidak puas hati yang timbul serta perselisihan komunikasi antara murid,” katanya ketika sesi soal lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Berhanudin Ahmad (Pas-Manong) yang bertanyakan isu buli di sekolah.
Kapla dipercayai merujuk kepada Ketua Asrama Pelajar Lelaki Atasan yang dipopularkan dalam siri drama televisyen tempatan.
Katanya, kerajaan negeri melalui JPN sentiasa fokus dan peka terhadap kes buli ini.
Jelasnya, kerjasama turut diadakan dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, PDRM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan bantuan intervensi luar bagi kes-kes berat. – UTUSAN