PETALING JAYA: “Gementar mahu jadi hos wedding of the year.”
Demikian luahan penyanyi, Sissy Imann yang bakal mengendalikan majlis perkahwinan rakan baiknya, Amira Othman bersama Fattah Amin yang dijangka berlangsung pada Ahad ini.
Turut meluahkan rasa gembira, Sissy berkata dia tetap akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengacara dengan baik di majlis itu nanti.
“Berita perkahwinan mereka akhirnya dikeluarkan. Insya-Allah, semoga dipermudahkan segala urusan.
“Nasib baik, jadi. Tidak kisahlah datang majlis dan perlu bekerja pada waktu itu,” katanya dalam hantaran di Instagram Story.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Mungkin Kami itu turut memaparkan tangkap layar perbualannya dengan Amira yang menjemputnya datang ke hari bahagianya.
Pun begitu, Amira tidak mengetahui bahawa Sissy yang bakal menjadi hos pada hari bahagianya nanti.
Semalam, Fattah tampil membuat kejutan lamaran di majlis pelancaran lagu terbaharu Amira dan adiknya, Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir di sebuah hotel.
Pengumuman itu secara tidak langsung meleraikan spekulasi mengenai hubungan mereka yang hangat menjadi sorotan sejak awal tahun lalu selepas aktor itu menyifatkan status mereka selepas ini bakal menjadi ‘teman serumah’.
Spekulasi hari jadi Fattah iaitu 14 September sebagai tarikh pernikahan yang sebelum ini dinafikan akhirnya disahkannya sendiri pada pengumuman berkenaan.
Hari bahagia pasangan merpati dua sejoli itu akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV pada pukul 8 malam.
Terdahulu, hangat di media sosial mendakwa kedua-dua personaliti popular itu bakal disatukan dalam tempoh terdekat selepas tular beberapa video pra-perkahwinan namun, mereka menafikannya.-UTUSAN