Malaysia Oversight

Pemecatan Sri Mulyani mengejutkan pelabur, nilai rupiah menjunam

By MkiniBM in September 9, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


GLOBAL l Berita mengenai penyingkiran secara mengejut menteri kewangan Indonesia yang berpengaruh, Sri Mulyani Indrawati, mengejutkan pasaran sehingga menyaksikan nilai rupiah menjunam lebih satu peratus hari ini.

Tindakan itu memaksa Bank Indonesia campur tangan bagi menstabilkan mata wang.

Rupiah kali terakhir berada pada paras 16,488 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), turun lebih satu peratus.

Reuters melaporkan pasaran saham di Jakarta turut terjejas. Ia merosot 1.6 peratus, kejatuhan harian terbesar sejak Jun. Pelabur dikatakan bimbang kredibiliti fiskal yang dibina dengan penuh gigih akan terhakis oleh rancangan perbelanjaan populis di bawah Presiden Prabowo Subianto.

“Mulyani adalah benteng kepada dasar fiskal berhemah.

“Pemergiannya akan menimbulkan kebimbangan terhadap defisit yang semakin melebar di bawah kepimpinan Prabowo yang kini berada di bawah tekanan selepas tercetusnya protes,” kata ahli strategi ekuiti pasaran membangun dan geopolitik di Tellimer, Hasnain Malik.

Pelabur global melihat Sri Mulyani yang merupakan antara menteri kewangan paling lama berkhidmat di Indonesia dan sudah berkhidmat di bawah tiga orang presiden sebagai tonggak penting dalam pertaruhan mereka terhadap ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Dia menerima pujian kerana kejayaannya merombak sistem percukaian serta peranannya mengemudi ekonomi terbesar Asia Tenggara itu melalui pelbagai krisis, termasuk pandemik dan krisis kewangan global.

Sri Mulyani digantikan dengan Purbaya Yudhi Sadewa, seorang ahli ekonomi yang berjanji untuk mempercepatkan pertumbuhan.

“Isunya adalah bagaimana menteri kewangan baharu akan membiayai program makanan yang bersamaan 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan pada masa sama meningkatkan perbelanjaan untuk sektor seperti pertahanan — tanpa menambahkan lagi defisit. Itu akan menjadi kebimbangan utama pelabur,” kata ahli ekonomi kanan untuk Asia di Natixis, Trinh Nguyen.



Source link