PETALING JAYA: Kapal utama misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinaiki oleh aktivis antarabangsa termasuk Greta Thunberg dipercayai menjadi sasaran dron mengakibatkan pengangkutan itu terbakar di perairan Tunisia.
Antara aktivis antarabangsa yang berada di dalam kapal utama tersebut adalah aktivis hak asasi manusia Jerman, Yasemin Acar dan aktivis alam sekitar Brazil, Thiago Avila.
Bot yang dikenali sebagai The Familia Madeira itu dinaiki enam individu termasuk kru mengalami kerosakan di dek utamanya, bahagian simpanan barangan akibat kebakaran namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang.
Peserta misi GSF dari Malaysia, Rahmat Ikhsan ketika berkongsikan detik-detik cemas itu berkata, ketika kapal dinaiki Greta, Yasemin dan Thiago itu diserang dron, kapal dinaikinya berada betul-betul di sebelah mereka.
Bagaimanapun, katanya, kapal dinaikinya terselamat daripada serangan dan kapal diserang mengalami kebakaran namun api berjaya dipadamkan.
“Polis dan Tentera Laut Tunisia sudah dikerahkan menjaga perairan. Semua warga Malaysia selamat dan berlindung di sebuah ‘safe house’. Mujur ada enam orang yang berkawal di atas bot, jadi api cepat dipadamkan.
“Sekarang pukul 1 pagi (waktu Tunisia) dan kami dipaksa tidur kerana esok kami perlu berlayar dengan baki kapal (yang ada),” katanya melalui perkongsian di Telegram miliknya hari ini.
Beliau merupakan salah seorang daripada 15 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran itu yang bermula pada 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Misi berkenaan adalah sebahagian daripada GSF yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Konvoi turut disertai oleh penyanyi tempatan, Zizi Kirana dan pelakon, Ardell Aryana namun masing-masing menaiki kapal berbeza. – UTUSAN