Tahun ini vivo menunjukkan pendekatan yang lebih agresif dalam memperkenalkan pelbagai telefon baharu ke pasaran Malaysia. Salah satu model terkini ialah vivo V60 dan saya sekali lagi berpeluang mencubanya.

Sebagai pengguna yang pernah menggunakan beberapa model dalam siri vivo V sebelum ini, saya dapati terdapat beberapa peningkatan pada V60. Namun, dari sudut pengalaman keseluruhan, peningkatan tersebut tidak begitu ketara. Kenapa saya berkata begitu? Saya akan huraikan secara lebih terperinci dalam ulasan ini.
Spesifikasi
vivo V60 | ||||
---|---|---|---|---|
Skrin | AMOLED, 1B colors, HDR10+, 120Hz, 1500 nits | 6.77-inci (1080 x 2392 piksel) | Schott Xensation Core | |
Pemproses | Snapdragon 7 Gen 4 (4 nm) | |||
Cip | 1 x 2.8 GHz Cortex-720 | 4 x 2.4 GHz Cortex-720 | 3 x 1.8 GHz Cortex-520 | |
Cip Grafik | Adreno 722 | |||
RAM | 8/12GB RAM LPDDR5X | RAM Maya (+12GB RAM) | ||
Muatan Dalaman | 256/512GB UFS 4.0 | |||
Kamera Utama | 50 MP, f/1.9, 23mm (lebar) OIS | 50 MP, f/2.7, 73mm (telefoto periskop) OIS | 8 MP, f/2.0, 15mm (ultra-lebar) | 4K/30FPS |
Kamera Depan | 50 MP, f/2.2 | |||
Bateri | Si / C Li-Ion 6500 mAh | Berwayar 90W | Pengecasan berbalik | ByPass Charging |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G | |||
NFC | Ya | |||
Infra Merah | Ya | |||
Kalis Air | IP68/69 | |||
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari | Imbasan wajah | ||
Harga Jualan | RM1899 (8/256GB)RM2199 (12/256GB)RM2599 (12/512GB) |
Pengalaman Penggunaan
Sebagai pengguna yang pernah mengulas model V50, saya dapati telefon ini masih mengekalkan identiti reka bentuknya yang tersendiri. Ia tampil dengan badan yang nipis dan ringan serta lengkungan penuh di bahagian hadapan dan belakang. Reka bentuk fizikal ini menjadikan telefon terasa mudah digenggam dan selesa digunakan terutamanya dengan satu tangan.

Kemasan pusam masih dikekalkan pada telefon dan kali ini saya berpeluang menggunakan unit berwarna Berry Purple. Walaupun dinamakan ‘purple’ bagi saya warnanya lebih menyerupai merah hati dengan tona yang sedikit lebih gelap berbanding merah terang pada V50 yang pernah saya gunakan sebelum ini.
Panel belakang telefon terasa licin dan kemas di tangan, memberikan rasa premium yang menyenangkan. Modul kamera pula kelihatan lebih menonjol berbanding V50 dengan rekaan yang mengingatkan saya kepada model X200 FE yang pernah saya gunakan sebelum ini.

Menariknya, sistem Aura masih dikekalkan meskipun saiznya kini lebih kecil. Walaupun begitu, ia tetap berfungsi dengan baik dalam memberikan pencahayaan tambahan yang seimbang terutamanya ketika mengambil gambar dalam suasana malap. Fungsi ini membantu menghasilkan imej yang lebih jelas dan mengurangkan hingar, menjadikannya berguna dalam situasi pencahayaan rendah.
Saya cukup tertarik dengan penggunaan bingkai aluminium yang hadir dalam kemasan merah, sepadan dengan tubuh telefon ini. Ia bukan sahaja menyerlahkan rekaan secara langsung malah membantu mengurangkan berat keseluruhan. Hasilnya, telefon ini terasa ringan dan selesa untuk digenggam, menjadikannya ideal untuk penggunaan harian tanpa rasa letih di tangan.

Walaupun beratnya mencecah 199 gram, telefon ini tetap terasa seimbang di tangan. Saya percaya keseimbangan ini banyak dipengaruhi oleh susunan dalaman yang kemas terutamanya bateri besar berkapasiti 6500mAh yang dimuatkan tanpa menjejaskan keselesaan reka bentuk. Hasilnya, telefon ini selesa digunakan dalam tempoh yang lama, sama ada untuk menonton kandungan, bermain permua atau tugasan harian.
Sepanjang tempoh penggunaan, paparan melengkung telefon ini benar-benar memberikan kepuasan. Kandungan kekal jelas tanpa gangguan di bahagian sisi, walaupun menggunakan skrin melengkung. Skrin AMOLED yang digunakan berfungsi dengan baik tanpa sebarang isu. Paparan stabil dan menyenangkan sepanjang tempoh penggunaan. Warna yang dipaparkan terang, tajam dan hidup. Ini menjadikan pengalaman menonton dan membaca jauh lebih menyeronokkan serta imersif.

Kadar segar semula 120Hz benar-benar memberi impak positif terhadap pengalaman harian saya. Gerakan di skrin terasa lancar dan responsif, tanpa sebarang isu seperti sistem tersekat atau skrin gagal berfungsi sepanjang tempoh penggunaan. Selain itu, sokongan penstriman Netflix pada tahap Widevine L1 membolehkan kandungan ditonton dalam resolusi tinggi dengan lancar dan tanpa gangguan.

Sistem audio stereo pada telefon ini turut menambah keseronokan ketika digunakan. Ia menggunakan konfigurasi hibrid di mana ganggang telinga berfungsi sebagai saluran kedua. Walaupun satu pembesar suara menghala ke hadapan dan satu lagi ke bahagian bawah, bunyi yang dihasilkan tetap jelas. Dialog kedengaran dengan baik meskipun prestasi bass sedikit kurang. Untuk tontonan video dan muzik harian, saya dapati kualiti audio yang ditawarkan cukup meyakinkan dan memadai untuk penggunaan biasa.
Dari segi ketahanan, telefon ini hadir dengan penarafan IP68 dan IP69 menandakan ia tahan habuk dan kalis air. Walaupun saya tidak mengujinya dalam keadaan basah sepenuhnya, ia pernah terkena percikan air secara tidak sengaja dan tetap berfungsi dengan baik. Ini memberikan keyakinan untuk penggunaan harian, terutamanya dalam situasi luar jangka seperti hujan atau kelembapan persekitaran.
Perkakasan Dan Perisian Dalaman
Telefon ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 7 Gen 4, satu peningkatan berbanding Snapdragon 7 Gen 3 pada model sebelumnya. Telefon ini hadir dengan pilihan memori antara 8GB hingga 12GB RAM, bersama storan dalaman sehingga 512GB. Telefon ini turut menyokong RAM maya sehingga 12GB, menjadikan jumlah keseluruhan RAM boleh mencecah 24GB. Menariknya, ciri mampatan storan 50GB turut disertakan seperti yang biasa ditawarkan dalam FunTouch OS 15. Fungsi ini boleh bantu menjimatkan ruang storan tanpa menjejaskan prestasi keseluruhan telefon.

Sepanjang penggunaan, prestasi telefon ini kekal stabil dan memadai untuk tugasan harian. Animasi kelihatan lancar, tatalan responsif, dan setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah seperti aplikasi terpadam. Untuk permua, saya mencuba Honor of Kings (HOK) dengan kadar bingkai konsisten sekitar 120 FPS. Walaupun ada penurunan kecil sesekali, permainan masih boleh dimainkan dengan lancar. Dalam mod Ultra pula, kadar 90 FPS kekal stabil dan penurunan yang berlaku tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan.
AnTuTu 3D
Cip | Skor |
Snapdragon 7 Gen 4 | 1,255,130 |
Dimensity 8400-Ultra | 1,590,533 |
Dimensity 8450 | 1,437,541 |
Snapdragon 7s Gen 3 | 788,110 |
Snapdragon 7 Gen 3 | 1,524,100 |
Tensor G4 | 1,016,712 |
Geekbench 6
Cip | Satu Teras | Multi Teras |
Snapdragon 7 Gen 4 | 1264 | 3615 |
Dimensity 8400-Ultra | 1575 | 6121 |
Dimensity 8450 | 1615 | 6174 |
Snapdragon 7s Gen 3 | 1146 | 3123 |
Snapdragon 7 Gen 3 | 1137 | 3130 |
Tensor G4 | 1916 | 4644 |
3DMark Wildlife Extreme
Cip | Skor |
Snapdragon 7 Gen 4 | 6367 |
Dimensity 8400-Ultra | 3839 |
Dimensity 8450 | 3780 |
Snapdragon 7s Gen 3 | 1037 |
Snapdragon 7 Gen 3 | 5334 |
Tensor G4 | 2567 |
Vivo X60 menggunakan FunTouch OS 15 berasaskan Android 15, dengan reka bentuk antaramuka yang masih mengekalkan identiti vivo. Walaupun mungkin bukan pilihan semua orang, saya dapati ia mudah dibiasakan selepas beberapa hari penggunaan. Saya faham mengapa ada yang merasakan UI vivo kurang mesra pengguna. Malah selepas mencuba Origin OS sebelum ini, saya secara peribadi lebih menggemari pendekatan yang digunakan oleh sistem tersebut. Namun begitu, versi baharu Funtouch OS hadir dengan beberapa penambahbaikan menarik yang memberi fokus kepada prestasi dan keselesaan penggunaan harian.


Beberapa ciri AI yang disertakan sangat membantu dalam rutin harian saya. Fungsi AI Photo Enhancer memudahkan saya meningkatkan kualiti gambar tanpa perlu melakukan suntingan manual. AI Erase pula berguna untuk memadam objek yang tidak diingini dalam foto.
AI Caption boleh menjana kapsyen secara automatik, dan kadangkala hasilnya cukup tepat serta sesuai dengan suasana gambar. Sementara itu, AI Screen Translation sangat praktikal terutamanya apabila saya menemui kandungan dalam bahasa asing. Walaupun terjemahannya tidak sempurna, ia sudah memadai untuk saya memahami konteks dengan jelas.

Untuk gaming, Mod Ultra Game dan fungsi split-screen sangat membantu terutama apabila saya boleh menukar aplikasi tanpa mengganggu permainan yang sedang berlangsung. Selain itu, ciri seperti Live Transcribe dan Sound Notifications juga berguna apabila saya perlukan maklumat segera atau mahu menukar audio kepada teks dengan pantas.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Telefon ini dilengkapi dengan kamera utama 50MP yang menyokong OIS untuk rakaman lebih stabil. Ia turut menampilkan kamera periskop telefoto 50MP dengan sokongan zum optikal 3x serta kamera ultra-lebar 8MP untuk tangkapan sudut luas.
Untuk rakaman video, resolusi sehingga 4K/30FPS disokong dengan bantuan OIS dan EIS memastikan hasil rakaman lebih lancar dan kurang gegaran. Kamera swafoto 50MP pula menyokong rakaman 4K lengkap dengan auto fokus dan sokongan ZEISS optics untuk hasil yang lebih tajam dan berkualiti tinggi.


Nisbah aspek gambar sehingga 16:9 masih tersedia bersama pelbagai penuras ZEISS dan fungsi ZEISS Multifocal Portrait yang saya rasakan cukup berguna untuk menghasilkan gambar yang lebih kreatif. Sokongan panjang fokus seperti 23mm, 85mm dan 100mm memberi saya lebih kebebasan untuk merakam subjek dari pelbagai jarak. Berbanding model vivo V50 yang hanya menawarkan kamera utama dan ultra-lebar, penambahan lensa telefoto pada model V60 terasa sebagai satu peningkatan ketara dari segi keupayaan fotografi.





Sepanjang penggunaan, pengalaman kamera yang saya alami sangat memuaskan dan jelas menunjukkan peningkatan ketara berbanding model sebelumnya. Dalam mod foto biasa, warna yang dihasilkan kelihatan lebih terang dengan julat dinamik yang baik. Apabila saya mencuba ciri zoom telephoto, hasil gambar kelihatan jauh lebih tajam dan jelas malah hampir menyerupai kualiti yang pernah saya lihat pada model X200 FE. Ini menunjukkan peningkatan ketara dari segi keupayaan sensor dan pemprosesan imej.




Apa yang saya suka, warna yang dihasilkan melalui zoom telephoto kekal konsisten dengan zoom 1x. Ini berbeza dengan sesetengah telefon lain yang sering mengalami perubahan warna apabila bertukar lensa. Untuk mengekalkan kualiti dalam mod zoom, saya dapati tetapan seperti ‘color textured’ sangat membantu walaupun hasil akhir masih bergantung kepada keadaan pencahayaan semasa.



Mod ultra-lebar pada telefon ini tidak mengecewakan. Gambar yang diambil kelihatan baik dengan herotan di bahagian bucu yang sangat minimum. Kesan fish-eye juga tidak terlalu ketara, sekali gus menghasilkan tangkapan yang lebih semula jadi dan menyenangkan. Namun begitu, auto fokus agak lemah apabila subjek mula bergerak. Ini menjadikan agak sukar untuk mendapatkan gambar yang tajam dalam situasi sedemikian.





Dalam mod malam, pencahayaan memainkan peranan yang sangat penting. Jika terlalu terang, gambar mudah kelihatan pecah dan dipenuhi hingar. Sebaliknya jika terlalu gelap, hasilnya menjadi kurang jelas dan kehilangan butiran penting. Ketika menggunakan zoom paling tinggi dalam keadaan cahaya rendah, gambar cenderung menjadi washout dan butiran hilang sepenuhnya. Dalam situasi gelap, kehadiran aura light sangat membantu mengurangkan hingar terutamanya pada wajah subjek.



Mod potret pada telefon ini menunjukkan peningkatan berbanding model V50. Walaupun proses pasca imej masih sedikit perlahan, terutamanya apabila mengambil banyak gambar secara berturut-turut, hasil yang diperoleh tetap memuaskan.
Kesan bokeh kelihatan semula jadi termasuk dalam keadaan pencahayaan rendah. Namun apabila latar belakang terlalu terang, fungsi edge detection menjadi kurang tepat. Bagaimanapun, pemisahan antara subjek dan latar belakang secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan yang ketara dan lebih kemas berbanding model sebelumnya.





Saya juga sempat mencuba ciri AI Four Seasons Portrait yang tersedia pada telefon ini. Ia membolehkan saya menjana imej bertemakan musim seperti luruh dan sejuk lengkap dengan tera air sebagai penanda. Ciri ini pernah saya lihat dalam Origin OS dan pernah diulas semasa pandang pertama vivo X-Fold3. Kali ini, ia dibawa masuk ke FunTouch OS dan secara peribadi, saya merasakan ia memberikan sentuhan menarik yang menyerupai gaya Origin OS yang sememangnya lebih menekankan elemen visual dalam pengalaman pengguna.



Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi kamera telefon ini. Fungsi zoom telephoto mudah digunakan dan sistem OIS banyak membantu dalam menstabilkan rakaman. Walaupun pasca proses imej agak perlahan tetapi hasil gambar zoom tetap memuaskan. Mod potret juga menunjukkan peningkatan berbanding model sebelumnya, dengan hasil yang lebih kemas dan pemisahan subjek yang lebih tepat.
Bateri Dan Pengecasan
Telefon ini dilengkapi dengan bateri karbon silikon berkapasiti 6500mAh, satu peningkatan berbanding 6000mAh pada model V50. Sepanjang penggunaan saya, kapasiti ini memberikan ketahanan yang cukup memuaskan untuk aktiviti harian biasa termasuk penstriman, permua dan penggunaan aplikasi sosial.

Berdasarkan penggunaan penuh secara peribadi, telefon ini mampu bertahan sehingga 20 jam 28 minit dengan Screen-on Time (SOT) sekitar 10 jam 45 minit. Dalam senario lain, ia mencatatkan ketahanan 19 jam 18 minit dengan SOT 10 jam 44 minit, atau 17 jam 42 minit dengan SOT 10 jam 4 minit. Prestasi bateri ini boleh dikategorikan sebagai konsisten dan boleh diharap untuk penggunaan seharian.
Dari segi pengecasan, telefon ini menyokong pengecasan pantas 90W berwayar, membolehkan bateri diisi semula dalam tempoh yang singkat. Ia turut dilengkapi dengan ciri reverse wired charging, yang membolehkan telefon ini mengecas peranti lain secara terus melalui kabel.
Selain itu, fungsi bypass charging sangat berguna ketika bermain permua kerana ia menyalurkan kuasa terus ke sistem tanpa melalui bateri. Ini membantu mengurangkan haba dan memastikan prestasi kekal stabil sepanjang sesi permainan.
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:

- 1 x vivo V60 5G.
- 1 x Kepala Pengecas 90W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon Lembut.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Telefon ini menawarkan ciri yang sesuai untuk kegunaan harian, dengan reka bentuk yang nipis dan ringan serta kemasan pusam yang tampak kemas dan moden. Paparan AMOLED melengkung bersama kadar segar semula 120Hz memberikan pengalaman visual yang lancar dan responsif lantas menjadikan animasi kelihatan halus dan menyenangkan.
Sistem audio stereo menghasilkan bunyi yang jelas dan seimbang meskipun prestasi bass sedikit kurang. Penambahan lensa telefoto berbanding model V50 merupakan satu peningkatan dari segi keupayaan kamera terutama untuk rakaman jarak jauh. Bateri karbon silikon 6500mAh pula memberikan ketahanan yang baik untuk penggunaan harian.

Namun, terdapat beberapa kekurangan yang wajar dipertimbangkan. Modul kamera yang agak menonjol mungkin kurang selesa bagi sesetengah pengguna. Kualiti bass audio pula tidak begitu mendalam menjadikan pengalaman audio kurang menyerlah bagi peminat muzik. Di samping itu, sistem operasi FunTouch OS mungkin tidak sesuai dengan cita rasa semua khususnya mereka yang lebih menggemari antaramuka yang lebih ringkas.
Secara keseluruhan, V60 sesuai untuk pengguna yang mencari sebuah telefon serba boleh dengan keseimbangan antara reka bentuk, prestasi, kamera dan bateri. Pembeliannya wajar dipertimbangkan terutamanya bagi mereka yang belum menggunakan model sebelumnya.
Namun, jika anda sudah memiliki vivo V50, peningkatan kali ini hanya benar-benar relevan sekiranya anda ingin mencuba pengalaman kamera telefoto serta ketahanan bateri yang lebih konsisten.
Kelebihan
- Reka bentuk nipis, ringan dan kemas
- Paparan AMOLED melengkung 120Hz
- Pengalaman visual lancar dan responsif
- Sistem audio stereo menghasilkan bunyi yang jelas
- Penambahan lensa telefoto meningkatkan kelebihan kamera
- Bateri karbon silikon 6500mAh dengan ketahanan yang baik.
Kekurangan
- Modul kamera agak menonjol.
- Kualiti bass audio tidak begitu mendalam
- Funtouch OS mungkin tidak sesuai dengan semua citarasa
- Peningkatan tidak terlalu signifikan kecuali pada kamera telefoto dan bateri.
