Malaysia Oversight

Polis Kelantan tahan empat warga Indonesia, 35 individu menerusi Op Kesan, Op Mega Cantas Khas

By Utusan in September 9, 2025 – Reading time 2 minute
Polis Kelantan tahan empat warga Indonesia, 35 individu menerusi Op Kesan, Op Mega Cantas Khas


KOTA BHARU: Empat warga Indonesia antara 39 individu dicekup polis menerusi Op Kesan dan Op Mega Cantas Khas secara serentak di negeri ini bermula 3 hingga 7 September lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah itu sembilan individu yang ditahan merupakan lelaki tempatan dikehendaki pihaknya.

“Op Kesan menumpukan kepada usaha menjejaki serta menahan individu dikehendaki bagi kesalahan jenayah khususnya melibatkan jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak.

“Op Mega Cantas Khas pula memberi fokus kepada jenayah lain yang berlaku di negeri ini dan berjaya membawa kepada 30 tangkapan membabitkan 26 warga tempatan dan empat warga Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, saringan air kencing yang dilakukan mendapati 12 suspek itu positif dadah.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah untuk dokumentasi serta siasatan lanjut mengikut pelbagai peruntukan undang-undang.

“Kesemua individu yang ditahan dalam kedua-dua operasi itu masing-masing berusia antara 16 hingga 70 tahun,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 376 dan 376 B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan tanpa kerelaan dan persetubuhan dengan mahram, Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana mendatangkan kecederaan, serta Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Selain itu katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 324, 354, 380, 392, 395/397, 427, 435, 448 dan 506 Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63, Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960 serta Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-UTUSAN





Source link