Mahkamah Persekutuan mengekalkan tarikh 29 Okt ini untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, daripada sembilan tuduhan rasuah.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan tarikh berkenaan kekal selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahyun Yusof, hari ini.
Tarikh pendengaran itu sebelum ini ditetapkan ketika pengurusan kes pada 25 Julai lepas.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, satu surat bertarikh 2 Sept yang dilihat Bernama mengesahkan berlaku pertukaran peguam yang mewakili Mohd Isa.
Firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak kini dilantik mewakili Mohd Isa menggantikan Tetuan Salehuddin Saidin & Associates. Sebelum ini, Datuk Salehuddin Saidin mewakili beliau di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai Senator Dewan Negara.
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac lepas, manakala petisyen rayuan dikemukakan pada 26 Jun dengan mengemukakan 24 alasan bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika melepas serta membebaskan Mohd Isa daripada semua pertuduhan.

Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, sebulat suara membatalkan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021, selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Pada 2018, Mohd Isa, 75, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya ketika itu, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC, di Putrajaya, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
– Bernama