BACHOK: Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ berhubung writ tuntutan gaji bekas penjaga gol pasukan itu Khatul Anuar Md. Jalil.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Erwan Rizal Ali Napiah mengesahkan telah menerima surat daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung isu itu dan akan menghormati segala proses yang perlu dilalui.
“Hari ini saya mahu fokus kepada kerjasama kelab dengan Ekspres Perdana. Segala isu yang sedang berjalan dan proses dilaksanakan, kita tidak boleh beri apa-apa komen buat masa ini.
“Biar kita hormati proses tersebut dan saya atau wakil daripada pasukan (Kelantan TRW) tidak mahu mendahului apa-apa proses yang sedang berjalan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Kelantan TRW dan Ekpres Perdana di Mukim Teluk Mesira, di sini hari ini.
Erwan Rizal memberitahu, sebaik sahaja proses yang sedang berjalan berkaitan isu tersebut selesai, pihaknya atau wakil Kelantan TRW akan memberikan respons mengikut apa sahaja yang diputuskan kelak.
“Bagi musim ini, pemain-pemain menerima gaji termasuk bonus mengikut jadual dan mereka gembira bermain untuk pasukan.
“Kelantan TRW sentiasa komited dan tidak lari ke mana-mana. Ada masalah kita cuba selesaikan,” ujarnya.
Pada 15 Ogos lalu, Khatul Anuar melalui peguam Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) telah menghantar writ tuntutan tunggakan gaji kepada pasukan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ekspres Perdana, Laili Ismail berkata, bas rasmi Kelantan TRW nanti akan dilengkapi ciri-ciri, spesifikasi serta sistem terkini dan menampilkan reka bentuk khusus bagi kegunaan Kelantan TRW.
“Semua ini adalah tanda sokongan dan menyampaikan hasrat untuk melihat bola sepak Kelantan kembali ke era kegemilangannya seperti dirasai pada tahun 2012 lalu,” katanya.