Pelakon popular Fattah Amin dan penyanyi Amira Othman hari ini mengumumkan mereka bakal melangsungkan pernikahan pada 14 Sept ini.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan tanda tanya status hubungan mereka yang sekian lama menjadi perhatian umum.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata majlis pernikahan itu akan berlangsung pada Ahad ini dan orang ramai boleh menontonnya secara langsung di Unifi TV pada 8 malam.
“Sebenarnya, hari ini saya dan Amira ada berita baik nak berkongsi dengan anda semua.

“Macam semua orang tahu, kami adalah rakan sekerja dan setelah beberapa lama tempoh perkenalan, jadi hari ini kami ada pengumuman nak buat.
“Insya-Allah, jika diizinkan Allah, kami ingin menukar status daripada rakan sekerja menjadi rakan serumah,” katanya selepas pelancaran single Rasa & Takdir nyanyian Amira dan adiknya, Irfan Haris hari ini.
Amira atau Nadia Amira Othman, 32, pula berkata pengumuman itu adalah janji yang ditunaikan selepas mereka bersepakat untuk berkongsi berita gembira hanya pada masa yang sesuai.
“Setiap kali kita ditemu bual, bila kita ditanya soalan ini, kami pun dah berjanji. Jika ada, pasti kami kongsi. Jadi, kami melunaskan janji itu… doakan agar semua persiapan berjalan lancar,” katanya.
Sebelum ini, pasangan itu memilih untuk tidak terlalu berkongsi akan status hubungan mereka dengan alasan mahu menjaga privasi, meskipun sering dilihat bersama-sama dalam acara hiburan dan saling menyokong kerjaya masing-masing.
Spekulasi hubungan mereka semakin hangat apabila Fattah pernah menghadiahkan bunga kepada Amira ketika penyanyi itu dirawat di hospital, selain kedua-duanya saling berkongsi hantaran di media sosial yang dikaitkan dengan tanda hubungan sihat.
– Bernama