Pagi tadi, Abu Sahid bersama isterinya Noor Azrina Azmi serta Yap Wee Leong mengaku tidak bersalah terhadap lebih 15 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah
Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed dan bekas pengarah MEX II Sdn Bhd, Yap Wee Leong akan berdepan lebih banyak pertuduhan rasuah dalam masa terdekat, kata ketua pendakwaan Ahmad Akram Gharib.
Dia berkata Abu Sahid akan berdepan tujuh lagi pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan melibatkan dana RM145 juta manakala Yap pula akan berdepan 18 pertuduhan tambahan.
“Sembilan daripada (pertuduhan akan dikenakan terhadap Yap) adalah di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009 berjumlah RM209 juta dan sembilan lagi di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berjumlah RM387 juta,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
“Pertuduhan baharu ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Pagi tadi, Abu Sahid bersama isterinya Noor Azrina Azmi serta Yap Wee Leong mengaku tidak bersalah terhadap lebih 15 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan lebih RM450 juta.
Abu Sahid berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan dana RM313,124,617.02 di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta 13 pertuduhan lain melibatkan dana RM139,252,148.98 di bawah AMLATFPUAA 2001, manakala Noor Azrina dituduh di bawah peruntukan pengubahan wang haram sama kerana didakwa menerima hasil haram berjumlah RM67,136,588.43 daripada suaminya.
Yap pula didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dengan 17 pertuduhan kerana didakwa menggunakan dokumen palsu dalam pemfailan tuntutan bernilai RM314,486,100 bagi kemajuan projek lebuh raya MEX II.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, dengan Abu Sahid dibicarakan di hadapan Hakim Suzana Hussin manakala Noor Azrina dan Yap berbuat demikian di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Peguam mereka, Hisyam Teh Pok Teik mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka dibebaskan selepas membayar ikat jamin hari ini, dengan Abu Sahid membayar RM1.5 juta, Noor Azrina RM500,000 dan Yap RM1 juta.