Garmin Fēnix 8 MicroLED Ditawarkan Di Malaysia Dengan Harga RM8479
Amy Maizuraa
Garmin Malaysia secara rasmi membawa masuk jam tangan pintar terbaharu Garmin Fēnix 8 MicroLED ke pasaran tempatan. Jam tangan ini ditawarkan dalam saiz 51mm dengan kemasan warna hitam. Ia akan dijual dengan harga RM8,479 bermula Oktober mendatang melalui Shopee, Lazada, AECO e-store serta pengedar sah di seluruh Malaysia.

Sorotan utama model baharu ini terletak pada penggunaan paparan MicroLED yang mampu mencapai kecerahan sehingga 4,500 nits. Hal ini menjadikan model baharu ini lebih terang berbanding paparan OLED biasa. Paparan ini juga menawarkan sudut pandang yang luas serta julat warna sekitar 15% lebih lebar bagi menghasilkan warna yang jitu.
Garmin Fēnix 8 MicroLED dilengkapi dengan pelbagai ciri kesihatan, kecergasan, navigasi dan sambungan pintar. Antara fungsi yang disertakan termasuk Endurance Score, Hill Score, cadangan senaman harian, peta TopoActive terbina, aplikasi ECG Garmin, jurulatih untuk tidur, Garmin Pay serta ciri keselamatan dan penjejakan.

Penggunaan teknologi MicroLED memberi kesan kepada jangka hayat bateri. Dengan fungsi Always-on Display (AOD) diaktifkan, bateri bertahan sekitar empat hari. Manakala dengan penggunaan biasa, jam tangan mampu bertahan sehingga 10 hari.
Model ini hadir dengan skrin bersaiz 1.4 inci beresolusi 454 x 454 piksel, memori 32GB RAM dan ketahanan air 10ATM. Walaupun versi global menyokong modem LTE dan fungsi kecemasan satelit melalui langganan InReach, versi Malaysia tidak menyertakan sokongan tersebut buat masa ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.