Malaysia Oversight

Abu Sahid, isteri didakwa ubah wang haram babitkan RM452 juta

By MkiniBM in September 8, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Tiga individu berkaitan dengan konsesi lebuh raya MEX II hari ini mengaku tidak bersalah terhadap lebih 15 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan jutaan ringgit.

Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan 13 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Isterinya, Noor Azrina Mohd Azmi didakwa menerima wang hasil daripada kegiatan haram di bawah peruntukan sama.

Bekas pengarah MEX II Sdn Bhd, Yap Wee Leong pula didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dalam tuntutan berjumlah RM314,486,100 berkaitan perkembangan projek lebuh raya MEX II.

Pendakwaan dibuat di dua Mahkamah Sesyen berasingan. Abu Sahid di depan hakim Suzanna Hussin, manakala Noor Azrina dan Yap di depan hakim Rosli Ahmad.

Pendakwa raya Ahmad Akram Gharib mengetuai kesemua pendakwaan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Maju Holdings pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur––KLIA.

Abu Sahid hadir ke mahkamah berkerusi roda kerana masalah kesihatan dan dibenarkan berada di luar kandang tertuduh.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta terhadap Abu Sahid, RM1 juta terhadap Yap dan RM500,000 terhadap Noor Azrina.

Ketiga-tiga tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport masing-masing, sementara sebutan semula kes ditetapkan pada 3 November.

Abu Sahid didakwa atas dua kesalahan berasingan. Dalam pertuduhan asas, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Maju Holdings untuk menyalahgunakan dana syarikat berjumlah RM313,124,617.02 menerusi empat kejadian berasingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku pada 3 Mei dan 22 Nov 2016, 20 Jan dan 27 Nov 2017, 8 Jan dan 30 Nov 2018, serta 21 Okt 2019.

Mengikut Seksyen 409, dia boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Dia juga dituduh melakukan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA, dengan memindahkan RM139,252,148.98 daripada akaun peribadi CIMB miliknya ke dalam akaun lima individu dan lima syarikat, serta mengeluarkan wang melalui 15 keping cek.

Kesalahan itu didakwa berlaku dalam 19 transaksi berasingan antara 4 Mei 2016 hingga 20 Okt 2019. 

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, serta denda lima kali ganda jumlah hasil haram berkenaan atau RM5 juta, mengikut jumlah mana yang lebih tinggi.

Noor Azrina pula didakwa menerima RM67,136,588.43 daripada akaun CIMB milik Abu Sahid pada 6 Mac dan 27 Nov 2017 di cawangan sama, di bawah peruntukan AMLATFPUAA.

Sementara itu, Yap didakwa menggunakan 13 dokumen palsu sebagai tuntutan perkembangan projek kepada Maju Holdings bagi kerja-kerja lebuh raya MEX II, dalam 19 kejadian berasingan antara Jun 2017 dan April 2018.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.



Source link