Kumpulan Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) Malaysia mengecam pengurusan Suria KLCC selepas beberapa peserta himpunan pro-Palesitn dihalang daripada memasuki pusat beli-belah itu semalam.
Menurut BDS Malaysia, layanan terhadap mereka yang membantah genosid di Gaza dan menyokong hak rakyat Palestin sebagai “kemungkinan ancaman keselamatan” mungkin dijangka berlaku di negara pro-Zionis, tetapi “tidak sepatutnya berlaku di Malaysia”.
“Tindakan kakitangan keselamatan Suria KLCC amat memalukan dan telah mencemarkan imej global kerajaan Malaysia yang tegas menyokong Palestin,” kata BDS Malaysia dalam kenyataan.
Kumpulan itu menggesa pihak pengurusan pusat beli-belah itu memohon maaf kepada mereka yang diperlakukan secara tidak adil oleh kakitangan keselamatan, khususnya bekas ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang terlibat dalam pertikaian dengan mereka.

Ia turut menyatakan rasa kecewa terhadap penjelasan Suria KLCC yang cuba mempertahankan insiden tersebut dengan alasan kebimbangan terhadap “kayu panjang” pada bendera Palestin.
“Alasan ini tidak boleh diterima kerana pelanggan lain yang memakai keffiyeh atau membawa poster pro-Palestin juga dihalang daripada masuk.
“Malaysia secara konsisten menyuarakan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin. Insiden ini melemahkan pendirian tersebut,” katanya.
Prosedur keselamatan
Semalam, pengurusan Suria KLCC mempertahankan tindakan kakitangan keselamatannya dengan berkata mereka bertindak “selaras dengan prosedur keselamatan” untuk melarang barangan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan pengunjung.
“Kami ingin menegaskan bahawa ini adalah langkah keselamatan piawai yang dikenakan kepada semua pengunjung, dan kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa tindakan kami tidak didasari oleh sebarang pendirian politik,” katanya.
Chua, yang juga bekas Naib Presiden PKR, berkata dia bertindak campur tangan apabila seorang peserta wanita dihalang oleh kakitangan keselamatan yang cuba merampas bendera Palestinnya.
Dia juga mendakwa pengawal pusat beli-belah itu menyasarkan individu yang membawa bendera dan berpakaian dengan tema Palestin, yang sebelum itu terlibat dalam protes membantah lawatan Presiden AS Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean 2025.
Terdahulu, sekumpulan 23 NGO menggesa kerajaan untuk membatalkan lawatan itu dengan menegaskan peranan Amerika Syarikat dalam genosid Israel terhadap Palestin bercanggah dengan pendirian moral Malaysia berhubung “malapetaka kemanusiaan” di Gaza.