KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera di bahagian kepala akibat diserang anjing liar di Batu 9, Cheras perlu menjalani pembedahan susulan untuk menjahit kulit luar kepalanya.
Mangsa yang dirawat di Hospital Putrajaya kini berada dalam keadaan stabil selepas kejadian pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihak hospital telah menjalankan pemeriksaan untuk mengesan jangkitan rabies dan memberikan rawatan awal termasuk ubat nyahrabies.
“Keputusan ujian hanya akan diketahui selepas hasil analisis diperoleh,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan mendapati anjing yang menyerang kanak-kanak tersebut adalah anjing liar dan tidak bertuan seperti disahkan oleh Majlis Perbandaran Kajang.
Kejadian ini tular di media sosial melalui rakaman video yang memaparkan kanak-kanak itu diserang seekor anjing semasa bermain basikal berhampiran rumahnya.
Beberapa gambar kecederaan serius yang dialami mangsa turut tersebar luas menerusi platform media sosial. – Bernama