Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial berkaitan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan institusi diraja.
Menurut MCMC, dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut terhadap individu terbabit dilaksanakan di ibu pejabat agensi itu di Cyberjaya pada Jumaat lalu dan hari ini.
Katanya siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 itu dibuat susulan aduan orang awam yang diterima pihak suruhanjaya terbabit sebelum ini.
“Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang tidak berasas dan mengaitkan institusi diraja,”
“Selain itu, terdapat juga percubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana pihak,” kata MCMC.
Menurut agensi itu lagi, tindakan pempengaruh tersebut berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyebarkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu yang terlibat, serta melanggar perundangan komunikasi dan perlindungan data peribadi.
MCMC turut menegaskan komitmen mereka untuk menyiasat semua aduan berdasarkan undang-undang tanpa mengira status, populariti, atau pengaruh individu yang terlibat.
“Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998 dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan,” menurut MCMC.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan bahawa sebarang penyebaran kandungan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada.
– Bernama