Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hari ini meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu.
Setiausaha Agungnya, Azmin Ali, berkata perhimpunan itu turut menyokong sepenuhnya kepimpinan ahli parlimen Pagoh itu sebagai presiden Bersatu.
“Perwakilan bertekad untuk terus bekerja kuat di lapangan dan meningkatkan kemahiran jentera pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin berkata, PAT kali ini berjaya dilaksanakan dengan seramai 20 orang pembahas mengambil bahagian mewakili negeri, sayap dan wakil mahasiswa.
“Pembahas telah menghayati dan mengupas pelbagai isu termasuk kos sara hidup, ekonomi global dan serantau, perpaduan rakyat dan isu politik semasa,” tambahnya.

Muhyiddin pernah menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia, bermula pada 1 Mac 2020 selepas kejatuhan kerajaan PH susulan peristiwa ‘Langkah Sheraton’.
Dia menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan, lalu menubuhkan kerajaan baru dikenali sebagai PN.
Sepanjang kepimpinannya, negara berdepan situasi mencabar, khususnya ketika berhadapan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Kerajaan pimpinannya memperkenalkan pelbagai langkah drastik termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penutupan sempadan antarabangsa, serta pelaksanaan bantuan ekonomi seperti Pakej Prihatin Rakyat, Penjana, dan Pemulih bagi meringankan beban rakyat.
Namun, tempoh kepimpinan Muhyiddin hanya bertahan selama kira-kira 16 bulan sebelum digulingkan oleh sekumpulan Ahli Parlimen BN yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.
Perpecahan dalaman ini akhirnya memaksa Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021, sekali gus menjadikannya antara Perdana Menteri Malaysia yang paling singkat tempoh pemerintahannya.