Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali bekata parti itu di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dan ini berbeza dengan PKR mahupun Pakatan Harapan.
Berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-8 Bersatu di Shah Alam, hari ini, Azmin berkata mereka yang menyertai Bersatu bukan bertujuan untuk mendapatkan ‘laba’.
“Kalau mahu laba masuklah dalam PKR dan Pakatan Harapan. Bukan saja laba dapat, bala pun akan diterima oleh mereka yang ada di sana. Tetapi kita mengambil risiko yang begitu besar. Berada di dalam Bersatu kerana kita berpegang kepada prinsip yang cukup jelas,” katanya.
Tambahnya, Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri pernah diuji apabila negara ini dilanda krisis kesihatan akibat Covid-19 dan krisis ekonomi.
Namun katanya, Muhyiddin dengan tenang mmeberi fokus untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan memulihkan ekonomi.
“Nak mengimbangkan di antara nyawa dengan kemakmuran negara bukan satu perkara yang mudah. Tetapi presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia telah berjaya mengangkat dan menyelamatkan negara Malaysia dan rakyat keseluruhannya.
“Sebab itu tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan, mereka cemburu dengan kita. Dia tidak mahu Bersatu ini bersatu. Dia nak Bersatu ini berpecah sedangkan dia tau Bersatu ini bukan hanya ada pada nama tetapi juga dalam pelaksanaan.
“Sebab itu presiden kita ini nampak tenang. Very calm. Very gentleman. Tapi ingat air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Tetapi beliau bukan buaya. Dia adalah serigala. Jangan main-main,” katanya.
Cermin diri kamu, Anwar
Dalam pada itu Azmin menyifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai hipokrit, sambil mengakui dia sendiri pernah “berdosa” bersama Anwar ketika berada dalam kerajaan.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, ucapan Anwar kebelakangan ini — termasuk di hadapan penjawat awam dan pada majlis rasmi — berulang kali menyinggung kepimpinan Bersatu serta Mahathir.
Sebaliknya, Azmin berkata Anwar hanya bersuara menentang rasuah dan salah guna kuasa ketika tidak lagi berkuasa.
“Anwar cermin muka kamu dulu. Kamu bicara soal rasuah ketika kamu tersungkur. Kamu bicara soal sakau ketika kamu tersungkur. Ketika kamu duduk di dalam kerajaan, kamu membisu dan tidak berbuat apa-apa.
“Saya duduk sebelah kamu dulu. Aku juga berdosa bersama beliau ketika itu,” katanya.
Kata Azmin, ini berbeza dengan Muhyiddin, yang ketika dalam kerajaan dan Majlis Tertinggi Umno, sudah berani dan lantang menentang perasuah.