Pemimpin sayap Bersatu hari ini meminta semua ahli parti itu bersatu dan merenung kembali peranan mereka sebagai “anak-anak” kepada presiden parti, Muhyiddin Yassin, yang mesra digelar “Abah”.
Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Hilman Idham, meminta ahli parti mengembalikan semula nama baik Muhyiddin yang menurutnya tercalar akibat gelagat segelintir individu.
“Dalam keluarga besar ini ada seorang pemimpin kita panggil abah. Rakan-rakan faham tak abah? Abah memang ciri dia begitu. Tenang, sukar dijangka… Rakan-rakan, ini di dalam dewan hari ini semua adik-beradik kita.
“Saya nak kongsi, sejak masuk Bersatu, saya cuba mengenali abah. Saya tak pernah kenal Tan Sri sebelum ini.
“Sebelum ini kalau saya nak tengok mood Tan Sri, saya tengok muka ‘bonda’ kita Puan Seri Norainee.
“Kalau saya nampak Puan Seri senyum, ‘selamat’. Kalau masam, saya dah sampai, saya patah balik memang tak jadi jumpa tan sri,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-8 Bersatu di Shah Alam hari ini.
ADUN Gombak Setia itu berkata Muhyiddin turut menyuarakan rasa kecewanya dalam kumpulan WhatsApp majlis tertinggi parti itu semalam.
“Tambah pula tan sri reply dalam WhatsApp group MPT semalam, “amat memalukan, tak boleh tidur”,” katanya.

Malam tadi, kekecohan tercetus apabila Muhyiddin ketika ucapannya mendakwa usaha untuk mengumpul tandatangan bagi menyingkirkannya.
Ucapan Muhyiddin itu disambut dengan jeritan “tidak benar ” dan Turun Tan Sri!”, sebelum dibalas dengan laungan “Hidup Tan Sri!” dari kumpulan lain.
Dalam pada itu Hilman membandingkan kepimpinan Muhyiddin yang digelar ‘abah’ dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Abah ni beza, abah ni dia bukan ‘Papa’ (Anwar). Kalau ‘papa’ dia bagi… abah tak. Sebab itu, hormatlah,” katanya disambut sorakan para perwakilan.
Hilman mengingatkan bahawa kini tanggungjawab terletak pada ahli untuk mengembalikan nama baik Muhyiddin akibat insiden terbuka itu.
“Kita ada tanggungjawab sebab malam tadi kita malukan abah! Kita sebagai anak-anak abah ada tanggungjawab kembalikan nama baiknya,” ujarnya.
Hilman juga meminta pihak media yang melaporkan kekecohan itu semalam supaya turut melaporkan semangat perpaduan yang ditunjukkan parti itu hari ini.
Ucapan Hilman itu menyusul selepas Ketua Srikandi Muda, Nurul Ezzati Azmi, memimpin para perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal serta barisan kepimpinan di pentas utama untuk berpegangan tangan dan melaungkan “Hidup Tan Sri!”.
Sementara itu, Ketua Srikandi, Mas Ermieyati Samsudin, turut melahirkan rasa kecewanya terhadap insiden tersebut.
“Insiden semalam, saya rasa kecewa… saya terus tinggalkan pentas. Saya geram. Saya turun, saya keluar, saya beli kopi…saya bersembang,
“Saya balik… biarlah peristiwa semalam menjadi sejarah dan pengajaran,” tegasnya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata sebaik tiba di rumah, dalam keadaan emosi, dia menulis sebuah puisi pada jam 1.34 pagi yang kemudian dibacakan pada hari ini.
Terdahulu, Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid, memaklumkan sayap itu telah membuat laporan tatatertib serta laporan polis berhubung insiden berkenaan.