Malaysia Oversight

Dua lelaki ragut rantai emas di hadapan kuil diburu

By Utusan in April 28, 2025 – Reading time 2 minute
Dua lelaki ragut rantai emas di hadapan kuil diburu


KUALA LUMPUR: Dua lelaki diburu selepas terlibat dalam kes ragut rantai emas milik seorang wanita di hadapan kuil di Kampung Pandan dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa berusia 60 tahun mengalami trauma manakala saudara lelakinya yang cuba membantu cedera di tangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial hari ini.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang menuju ke kereta apabila secara tiba-tiba dihampiri sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki lalu meragut rantai leher dipakai mangsa.

“Beberapa orang lelaki yang berada di lokasi cuba membantu menangkap kedua-dua lelaki itu, namun tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap anak saudara mangsa, wanita itu masih trauma dan belum dapat tampil membuat laporan polis.

Syahrul Anuar berkata, lelaki terbabit mendakwa ibu saudaranya itu tidak cedera namun bapanya mengalami kecederaan di tangan semasa cuba membantu menangkap suspek.

“Polis sudah mendapatkan rakaman CCTV di lokasi kejadian dan sedang giat mengesan suspek,” jelasnya. – UTUSAN





Source link