Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menolak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk pilihan raya negeri akan datang, dengan menegaskan partinya tidak akan tunduk kepada tipu daya dan politik gila kuasa.
Bung menuduh GRS menipunya, dengan mendakwa pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor telah memperdayakan dirinya pada hari barisan kabinet negeri itu mengangkat sumpah.
Menurut Bung, Hajiji berbohong mengenai jawatan menteri negeri dengan menukarnya kepada jawatan lain tanpa pengetahuannya.
“Kami tidak akan menjadi pak turut kepada politik lompat, tidak akan bersekongkol dengan penipuan, dan tidak akan tunduk kepada kerakusan kuasa,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak menyifatkan tawaran GRS untuk memberi Umno hanya lapan kerusi dalam PRN Sabah ke-17 sebagai “amat menyakitkan hati” sehingga menggagalkan rundingan membentuk gabungan pilihan raya.
Salleh berkata demikian kerana Umno ketika ini merupakan penyandang di 14 kerusi hasil kemenangan pada PRN lalu.
Sehari sebelumnya, Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Umno-BN hanya akan bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah akan datang, sekali gus menolak semua kemungkinan kerjasama sebelum pilihan raya dengan GRS.
Pengumuman itu menamatkan spekulasi sekiranya akan wujud pakatan tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan dan GRS.
Mengulas lanjut, Bung berkata keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan GRS menunjukkan kepimpinan pusat parti menghormati autonomi bahagiannya di Sabah.
Tegasnya, apa yang digelar sebagai “Langkah Kinabalu” – percubaan gagal menyingkirkan Hajiji sebagai ketua menteri pada 2023 – bukanlah satu pengkhianatan.
Sebaliknya, kata Bung, ia adalah reaksi terhadap kegagalan kepimpinan Hajiji.
“Saya tegaskan di sini, saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja mengenai Langkah Kinabalu,” katanya sambil menamakan Hajiji serta Pembantu Menterinya, Nizam Abu Bakar Titingan.
“Kita boleh berdebat di mana sahaja, bukan hanya menjerit di TikTok seperti ayam berkokok di waktu subuh tetapi takut turun ke gelanggang.
“Politik bukan pentas jual bahasa basi di media sosial, ia medan hujah dan kebenaran,” katanya lagi.
Langkah Kinabalu bermula pada Januari 2023 selepas BN Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji, dengan alasan berlaku pelanggaran amanah.
Namun, Hajiji akhirnya terselamat daripada krisis itu dengan sokongan PH manakala beberapa Adun Umno enggan meninggalkannya.
Bung turut menyatakan keyakinannya BN mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Sebatik selepas lawatannya ke kawasan itu semalam.
“Rakyat Sebatik tahu menilai siapa yang konsisten memperjuangkan nasib mereka, dan siapa pula yang hanya muncul ketika mahu mengaut kuasa,” katanya.