Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, ditahan polis malam tadi terkait dakwaan membuat kenyataan menghasut dan memfitnah semasa berucapan dalam majlis politik di Bagan Serai, Perak.
Peguamnya, Rafique Rashid Ali, dalam kenyataan ringkas pagi ini memberitahu Badrul Hisam ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Tangkapan itu dibuat untuk siasatan mengikut Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Permohonan tahanan reman dijangka diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 10 pagi hari ini,” katanya.
Polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi JSJ Bukit Aman, polis Kuala Lumpur dan IPD Dang Wangi untuk mendapatkan kenyataan mereka.
Berdasarkan pautan TikTok yang dikongsi oleh Rafique, anak guamnya itu disiasat berhubung ucapan semasa ceramah pada 29 Ogos lalu.
Program berkenaan dinamakan sebagai Ceramah Perdana: Selamatkan Malaysia.
Dalam petikan video itu, Badrul Hisam kedengaran bercakap mengenai Raja-Raja Melayu dan dakwaan cubaan pihak tertentu untuk membuat orang Melayu hilang rasa hormat terhadap istana.