Malaysia Oversight

Penduduk Kg Papan bantah diusir, adu 66 laporan ke polis terhadap pemaju

By MkiniBM in September 5, 2025 – Reading time 2 minute
Penduduk Kg Papan bantah diusir, adu 66 laporan ke polis terhadap pemaju


Penduduk sebuah penempatan yang didakwa wujud sejak sebelum merdeka di Pandamaran, Klang telah membuat sebanyak 66 laporan polis terhadap seorang pemaju tempatan yang didakwa mengeluarkan notis pengusiran secara tidak adil dan tidak sah.

Penduduk Kampung Papan mendakwa notis pengusiran yang diberikan pada 26 Ogos lalu dikeluarkan walaupun kes mereka masih dibicarakan di Mahkamah Rayuan, yang sebelum ini pada bulan Mac telah membenarkan penangguhan pelaksanaan pengusiran.

Namun, difahamkan pemaju berkenaan telah memperoleh perintah daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengambil semula premis yang dipertikaikan, dengan penduduk diarahkan mengosongkan rumah mereka selewat-lewatnya 9 Sept.

Menurut salinan salah satu laporan polis yang dibuat di balai polis Klang hari ini dan dikongsi dengan Malaysiakini, penduduk bimbang syarikat berkenaan mungkin menggunakan “taktik kotor” bagi memaksa mereka meninggalkan kediaman masing-masing.

300e9aa50440b6aa1a31b0bef9901a81

“Kami membuat aduan kepada polis untuk menghentikan pengusiran paksa ini dan kami meminta polis supaya tidak terlibat dalam operasi (menghalau penduduk) ketika kes masih berlangsung di mahkamah,” menurut laporan tersebut.

Malaysiakini tidak menamakan pemaju itu sementara menunggu maklum balas pihak terlibat.

Ditubuhkan sebagai penempatan ‘kampung baru’ pada 1939, tanah seluas 60 ekar di Kampung Papan dahulunya milik negeri sebelum dipindahkan kepada anak syarikat Bank Negara yang ditubuhkan pada 1995 untuk menyelamatkan projek perumahan terbengkalai.

Berdasarkan garis masa peristiwa yang disusun Parti Sosialis Malaysia (PSM), pada 2005 Pejabat Tanah Klang telah mengeluarkan notis pengusiran kepada 522 keluarga termasuk penduduk Kampung Papan, dengan tawaran pampasan sebanyak RM7,000.

Walaupun sebahagian penduduk menerima tawaran tersebut dan mengosongkan rumah, 130 keluarga menolak untuk berpindah, menyebabkan Majlis Perbandaran Klang mengeluarkan saman dan merobohkan beberapa rumah di kawasan itu.

Pada 2007, syarikat berkaitan Bank Negara itu menjual tanah berkenaan kepada pemaju semasa, yang berjanji akan membina unit penggantian untuk penduduk.

Namun pada Sept 2020, sekumpulan penduduk secara tiba-tiba menerima notis pengusiran daripada pemaju ketika rundingan mengenai unit penggantian masih dijalankan.

Pada Okt tahun berikutnya, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak perintah pengusiran tersebut, tetapi Mahkamah Rayuan kemudiannya membenarkan perobohan kilang haram, rumah, dan perniagaan yang tidak dinamakan dalam pertikaian.

Dalam penghakiman ke atas tindakan undang-undang yang dibawa syarikat berkaitan Bank Negara bersama pemaju terhadap penduduk, Mahkamah Tinggi pada November tahun lalu membenarkan tuntutan kedua-dua syarikat dan menolak tuntutan balas penduduk, mendorong mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Penduduk kemudian memohon penangguhan pelaksanaan pengusiran di Mahkamah Rayuan, yang dibenarkan oleh panel hakim terdiri daripada Hakim Azizah Nawawi, Azizul Azmi Adnan, dan Firuz Jaffril.

[Baca berita asal]



Source link