Midjourney Disaman Warner Bros. Discovery Kerana Didakwa Mencuri Harta Intelek
Effi Saharudin
Midjourney kini disaman oleh Warner Bros. Discovery kerana kecerdasan buatan generatif mereka didakwa melanggar harta intelek studio terkemuka ini. Dalam writ saman yang difailkan, Warner Bros. mendakwa Midjourney melanggar hak cipta watak-watak terkemuka seperti Superman, Batman, Bugs Bunny, Scooby-Doo dan banyak lagi.

Imej serta video yang dijana Midjourney didapati mirip dengan karya asal Warner Bros. dengan hanya perbezaan yang kecil. AI generatif ini juga masih menjana imej watak milik Warner Bros. walaupun tidak diletakkan di dalam prom oleh pengguna. Malahan Warner Bros. berkata Midjourney mengetahui isu pelanggan harta intelek tetapi tidak menghalangnya daripada terus berlaku.
Model AI generatif Microsoft Designer dan Google Gemini misalnya menghalang janaan imej harta intelek dengan pengguna akan diberitahu mengapa prom tidak boleh diproses.

Warner Bros. Discovery ingin Midjourney membayar pampasan kerana pelanggaran harta intelek serta meminta mahkamah menghalang mereka terus meniru, memaparkan dan menyebarkannya. Midjourney juga diminta tidak menawarkan perkhidmatan AI generatif tanpa langkah memelihara hakcipta.
Ini ialah satu lagi saman melibatkan pelanggaran harta intelek oleh Midjourney yang juga disaman oleh Disney dan Universal. Beberapa syarikat AI generatif lain seperti Meta dan Perplexity juga disaman kerana melatih model LLM mereka menggunakan karya penulisan yang mempunyai hak cipta.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.