Malaysia Oversight

Usah persoal persetujuan perjanjian semasa merdeka

By Utusan in September 5, 2025 – Reading time 3 minute
Usah persoal persetujuan perjanjian semasa merdeka


IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan bahawa perjanjian yang pernah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan tidak seharusnya dipersoalkan sewenang-wenangnya.

Baginda bertitah, tindakan demikian boleh menjejaskan sikap saling mempercayai serta menghormati antara satu sama lain selain diburukkan lagi oleh retorik politik yang mengeksploitasi isu kaum dan agama sehingga menyalakan api perselisihan.

“Kemerdekaan tanah air diperoleh secara rundingan dan diplomasi melalui kebijaksanaan dan sifat pragmatisme Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, seorang negarawan yang sangat menghargai semangat perundingan dan membina kerjasama antara kaum.

“Beliau melaksanakan rundingan dengan berlapang dada dan bersangka baik demi membangunkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Kesemuanya diberikan tempat serta jaminan perlindungan yang saksama sebagai warga dalam sebuah negara merdeka. Tidak ada yang dipinggirkan, tidak ada penyisihan dilakukan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Baginda bertitah, usaha perlu dipergiatkan untuk mengembalikan manhaj pembinaan negara bangsa berpandukan kepada kebijaksanaan dan semangat yang diasaskan Nabi Muhammad SAW.

“Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Sikap bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling memahami dan menghormati di samping mengenali batas sempadan tidak mengusik perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, jarak yang terpisah antara tarikh negara mencapai kemerdekaan dengan tarikh kelahiran generasi muda, menjauhkan mereka daripada memahami perit dan penderitaan penjajahan.

Baginda bertitah, keadaan itu turut menjauhkan generasi muda daripada menghayati erti dan semangat kemerdekaan untuk membentuk kesepaduan umat yang berbilang kaum dan berlainan agama.

“Salah satu nikmat kurniaan Ilahi adalah menjadikan umat manusia berbagai bangsa agar saling berkenal dan beramah mesra.

“Kepelbagaian ini mengajak seluruh umat berusaha memahami adat dan tradisi kaum lain dengan sifat penuh hormat dan menghargai yang terbit daripada nilai takwa dalam jiwa seorang mukmin,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan berkaitan penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular khususnya dalam media sosial sehingga merancakkan perpecahan yang lebih getir.

Tegas baginda, tindak tanduk yang melampaui batasan ini diertikan apa sahaja perkataan dan perbuatan yang berlebihan dan keterlaluan.

Ujar baginda, sikap melampau itu boleh membawa kepada perpecahan apabila golongan yang miskin adab dan kedana adat mengetepikan nas-nas agama dan kehalusan budaya warisan bangsa.

“Saban hari ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersenda dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulan tertentu.

“Keadaan ini menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan berlawanan dengan adat Melayu. Hati yang tidak dijaga dengan ketakwaan menjadikan anggota mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet, bebas melakukan apa sahaja,” titah baginda. – UTUSAN





Source link