Malaysia Oversight

Cadangan SPRM sahkan kelemahan urus tadbir projek MyKiosk

By MkiniBM in September 4, 2025 – Reading time 2 minute
Cadangan SPRM sahkan kelemahan urus tadbir projek MyKiosk


Jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Perumahan dan Tempatan Aiman Athirah Sabu di Dewan Negara berhubung projek MyKiosk mengesahkan yang kebimbangan MCA adalah berasas, kata Ketua Pemuda MCA Pahang Wong Siew Mun.

Wong merujuk kenyataan Aiman bahawa SPRM mencadangkan beberapa penambahbaikan tadbir urus kepada kementeriannya berhubung projek berkenaan.

“Pengakuan bahawa penambahbaikan diperlukan jelas menunjukkan ada kelemahan tertentu,” kata Wong dalam kenyataan hari ini.

Pada Julai lalu, Bernama melaporkan SPRM melancarkan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender MyKiosk.

484101c5075bcef24670dd011f22b0ce
Wong Siew Mun

Pada Mei lalu, MCA juga membuat laporan kepada SPRM bagi menggesa suruhanjaya itu menyiasat dakwaan kepincangan dalam projek MyKiosk.

Ketika itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong menegaskan keberkesanan projek itu telah menjadi pertikaian awam, sementara ada pihak mendakwa harga kios yang melambung telah meningkatkan jumlah kos keseluruhan projek.

Kelemahan projek

Mengulas lanjut, Wong berkata pengesahan Aiman menunjukkan projek itu memang ada kelemahan, antaranya kos siling untuk sesebuah kios.

“Timbalan menteri menyatakan kos siling bagi unit MyKiosk 1.0 ialah RM15,000, manakala MyKiosk 2.0 pula RM25,000.

“Namun, kios yang hampir sama di pasaran boleh didapati pada harga sekitar RM12,800 seunit.

“Perbezaan ini pastinya menimbulkan persoalan awam mengapa membayar harga jauh lebih tinggi untuk produk yang kelihatan sebanding,” katanya.

Turut menjadi kebimbangan adalah sebanyak mana kios itu dimanfaatkan, katanya.

“Walaupun kadar penggunaan yang dilaporkan iaitu 94.39 peratus bagi MyKiosk 1.0 dan 89.07 peratus bagi MyKiosk 2.0 adalah positif, alasan yang diberikan bagi unit tidak digunakan – seperti kesesuaian lokasi dan tapak belum lengkap – selari dengan isu yang kami serta orang ramai bangkitkan,” katanya lagi.

Dia mencadangkan agar kementerian mengadakan sesi libat urus bersama peniaga tempatan dan komuniti bagi menyelesaikan perkara itu.

Siasatan SPRM

Mengulas mengenai siasatan SPRM, Wong berkata banyak pihak terkejut apabila suruhanjaya itu menyimpulkan tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan program itu.

“…Reaksi awam juga semakin kuat apabila, hanya beberapa hari sebelum itu, Nga dilaporkan mengarahkan pegawai mengenal pasti pengguna TikTok yang didakwa menyebarkan maklumat palsu (mengenainya).

“Pada masa sama, jemputan terbuka yang dibuatnya kepada ketua pesuruhjaya SPRM untuk ‘minum teh’ di pejabatnya dilihat sesetengah pihak sebagai isyarat yang boleh menjejaskan imej bebas SPRM.

“Tindakan sebegini malangnya menimbulkan keresahan serta keraguan awam terhadap kepimpinan yang selama ini menjuarai nilai integriti dan akauntabiliti,” katanya lagi.

Justeru, Wong menyuarakan harapannya agar pembentangan cadangan SPRM itu akan membawa kepada penambahbaikan tadbir urus dalam projek tersebut.



Source link