Pembatalan kenaikan elaun on-call doktor mengundang kritikan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang berkata tidak wajar untuk menteri menikmati pelbagai elaun sedangkan petugas kesihatan terus mendapat elaun yang “tidak setimpal”.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Akmal membidas Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pengumuman Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada Julai lalu yang doktor dalam perkhidmatan awam tidak akan menerima kenaikan elaun on-call – atau Elaun Tugas Atas Panggilan (Etap) – yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.
Akmal membangkitkan jaminan yang diberikan Dzulkefly sebelum itu yang KKM telah mendapat kelulusan untuk menaikkan elaun tersebut.
“Bukan soal duit, tetapi soal mereka ini yang bekerja siang dan malam untuk menjaga pesakit, tinggalkan masa bersama keluarga untuk menjaga pesakit. Perlu dihargai segala pengorbanan mereka ini.
“Kalau elaun menteri boleh sampai beribu ringgit, takkanlah kita nak biarkan mereka ini kekal dengan hanya elaun yang tidak setimpal dengan usaha mereka,” kata Akmal.
Pada 26 April lalu, Dzulkefly berkata kenaikan elaun on call untuk petugas kesihatan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada bulan Jun.

Dia berkata jawatankuasa yang dipengerusikan bekas ketua pengarah kesihatan Abu Bakar Sulaiman di peringkat akhir rundingan sebelum keputusan dibuat.
Namun pada 14 Julai lalu, portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan KKM telah membatalkan rancangan kenaikan elaun tersebut.
Dzulkefly dilaporkan mengaitkan perkara itu dengan kegagalan KKM melaksanakan sistem syif Waktu Bekerja Berlainan (WBB) kerana kekurangan pegawai perubatan.
Dia juga dilaporkan telah mengarahkan ketua pengarah kesihatan supaya terus “berjuang dan berusaha” mencari penyelesaian bagi merealisasikan pemberian elaun berkenaan, selain meneruskan rundingan dengan pihak berkepentingan.
Untuk rekod, semas pembentangan Belanjawan 2025 tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan elaun on call sebanyak RM55 hingga RM65 untuk doktor dan doktor gigi dalam perkhidmatan awam.
Lebih ramai mungkin berhijrah
Dalam pada itu, Akmal mengingatkan sistem kesihatan negara berdepan risiko apabila lebih ramai doktor dan petugas kesihatan mungkin berhijrah ke luar negara berikutan “layanan” yang diterima mereka.
“Untuk makluman pihak menteri bila diumumkan akan ada kenaikan elaun on call ini, para petugas kesihatan kita rasa dihargai.
“ Walaupun ia bukanlah banyak jika dibandingkan dengan bayaran locum di hospital swasta, mereka merasakan segala penat lelah mereka dihargai oleh kerajaan.
“Tetapi apabila ada pusingan U yang menyatakan elaun on call tidak dapat dinaikkan, maka sejujurnya mereka terasa ditipu dan kecewa,” katanya.
Justeru, dia mencadangkan agar Dzulkefly serta para menteri lain bekerja bersama petugas kesihatan di hospital selama seminggu untuk memahami keadaan sebenar yang dihadapi mereka.