Malaysia Oversight

Mustahil untuk masukkan Zara ke dalam mesin basuh, kata pakar patologi

By MkiniBM in September 4, 2025 – Reading time 2 minute
Mustahil untuk masukkan Zara ke dalam mesin basuh, kata pakar patologi


Seorang pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa adalah mustahil untuk memasukkan remaja berusia 13 tahun itu ke dalam mesin basuh.

Dr Jessie Hiu, 58, yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu sejak 1998, berkata perkara itu tidak mungkin berlaku disebabkan berat mangsa.

Dia berkata demikian ketika disoal pengendali prosiding, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Badius Zaman Ahmad, pada hari kedua inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Badius Zaman: Doktor, adakah anda menjumpai mesin basuh ketika lawatan ke tempat kejadian?

Dr Hiu: Ya, terdapat satu, di tingkat bawah, berhadapan dengan tangga.

Badius Zaman: Doktor, adakah anda tahu saiz mesin basuh itu?

Dr Hiu: Ia merupakan mesin basuh domestik, bukan industri.

Badius Zaman: Adakah mangsa boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh?

Dr Hiu: Saya tidak memeriksa saiz dram mesin basuh tersebut. Saya dimaklumkan mangsa mempunyai berat 53 kilogram, dan saya tidak fikir mesin itu boleh berfungsi dengan beban seberat 53 kilogram.

Prosiding pendengaran kes di hadapan Koroner, hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan diteruskan.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu. Dia dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul empat pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan satu inkues akan dijalankan berhubung kematiannya selepas meneliti laporan siasatan polis. Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

-Bernama



Source link