Valve Memfailkan Tanda Dagang “Steam Frame” – Mungkin Sebuah Konsol
Effi Saharudin
Valve sudahpun mempunyai konsol mudah alih Steam Deck yang memulakan era konsol mudah alih untuk permainan PC. Kini Valve didapati telah memfailkan dua tanda dagang untuk Steam Frame dengan yang pertama ialah untuk konsol permainan komputer bersama dengan alat kawalan serta peranti permainan video. Fail yang kedua pula ialah untuk perkakasan komputer.
Ini ialah petanda paling jelas Valve mungkin bersedia untuk menawarkan semula sebuah konsol di rumah sejak Steam Machine dihentikan pada tahun 2018. Steam Machine kurang mendapat sambutan kerana dijual di pasaran yang terhad serta sokongan perisian yang memuaskan pada waktu tersebut.
Tahun lalu markah penanda aras untuk Project Freemont yang dilengkapi cip AMD Lilac tertiris dengan ia adalah lebih berkuasa berbanding Steam Deck. Spekulasi pada waktu tersebut ialah Steam Deck 2 sedang dibangunkan dan ia mempunyai dermaga seakan Nintendo Switch untuk ia dipasang kepada sebuah TV.
Dengan kejayaan Steam Deck, mungkin Valve lebih yakin sebuah konsol yang lebih berkuasa juga akan mendapat sambutan yang sama. Lebih-lebih lagi dengan Steam Deck kini sudahpun berusia 3 tahun. Walaupun tanda dagang Steam Frame telah difailkan, sehingga kini tiada sebarang paten rekaan mengenainya pernah dilihat sebelum ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.