Siri komputer riba Acer Swift cukup dikenali sebagai siri komputer riba yang hadir dengan rekaan nipis dan ringan, tetapi masih mempunyai kuasa pemprosesan yang sangat berkuasa. Terkini, sewaktu acara Next@Acer di Berlin, Jerman, Acer telah menambah sebuah lagi model dalam siri ini, melalui Acer Swift Air 16.

Komputer riba ini tampil dengan paparan skrin AMOLED bersaiz 16 inci yang mempunyai resolusi WQXGA+ 2880×1880 pixel dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi. Panel ini juga mempunyai kadar segar semula 120Hz untuk tatalan skrin yang lebih lancar dan nilai kecerahan 400 nits untuk output paparan yang sentiasa cerah.

Komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI, yang terdiri daripada tiga jenis pilihan CPU, termasuklah AMD Ryzen AI 7 350, AMD Ryzen AI 7 340 ataupun AMD Ryzen AI 7 330. Dari segi penawaran memori dan storan pula, Acer mengatakan bahawa komputer riba ini akan tiba dengan pilihan memori LPDDR5 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Dari segi penawaran palam pula, Acer Swift Air 16 ini dilengkapi dengan dua palam USB 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 1.4a dan satu palam audio 3.5mm. Komputer riba ini juga dilihat hadir dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 6E dan Bluetooth 5.4.

Keunikan utama komputer riba Acer Swift Air 16 ini hadir melalui rekaan rangkanya, yang diperbuat daripada aloi magnesium-aluminum. Ini bermakna bahawa walaupun dengan saiz besar komputer riba ini, Acer telah berjaya menghasilkan sebuah lagi komputer riba seringan 1KG.

Dari segi jangkahayat bateri pula, komputer riba ini dilihat hadir dengan bateri bersaiz 50Wh yang mana Acer mengatakan bahawa ia boleh bertahan selama 13 jam dengan satu pengecasan penuh dan penggunaan sepanjang hari.
Acer Swift Air 16 dikatakan akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih sekitar bulan November ini, pada harga permulaan 999 Euro dalam pilihan warna Light Silver, Fresh Blue, Steel Grey dan putih.