Jika anda seorang pembangun perisian ataupun teknologi kecerdasan buatan yang memerlukan kuasa pemprosesan inferens AI yang tinggi untuk membangunkan dan melatih teknologi anda sendiri, anda akan faham bahawa kos untuk membeli kelengkapan dan mesin pembangunan teknologi ini secara lazimnya hadir bukan sahaja dengan kos tinggi, tetapi juga lazimnya memerlukan ruang yang cukup besar.

Oleh kerana ini, Acer telah memperkenalkan komputer pembangun AI pertama mereka, iaitu Acer Veriton GN100 yang hadir dengan rekaan yang serba padat. Hadir dalam rekaan bersaiz padat, komputer ini tampil dengan komponen-komponen yang cukup berkuasa untuk anda mula membangunkan teknologi AI anda sendiri.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan NVIDIA GB10 Grace-Blackwell yang terdiri daripada teras CUDA generasi ke-5, teras Tensor dan 20 teras CPU kelas ARM yang digabungkan dengan 128GB memori terbina, bersama-sama dengan storan SSD M.2 PCIe 5.0 sebesar 4TB.


Selain daripada palam-palam USB Type-C dan HDMI untuk sambungan ke paparan skrin, Acer Veriton GN100 ini juga hadir dengan sambungan NVIDIA Connect-7 NIC yang membolehkan anda untuk menggabungkan kuasa perkomputeran dua komputer ini untuk membolehkan anda melatih model AI dengan 405 bilion jumlah parameter pada satu-satu masa.


Acer Veriton GN100 juga tampil dengan sokongan penuh untuk tindanan perisian pembangunan AI NVIDIA, termasuklah TensorRT, CUDA, RAPIDS dan sebagainya. Dalam pada itu, pengguna komputer ini juga boleh menggunakan perisian pembangunan seperti PyTorch, Jupyter dan Ollama untuk membangunkan prototaip, menguji, uji dan menghasilkan teknologi AI mereka sendiri pada kos yang lebih rendah dan lebih cepat berbanding sebelum ini.

Acer akan membuat pengumuman berkenaan spesifikasi lengkap bersama tarikh dan harga jualan komputer pembangun AI Acer Veriton GN100 ini tidak lama lagi.