PUTRAJAYA: Susulan gangguan sistem sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) bertindak meningkatkan kapasiti transaksi bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 15,000 transaksi dalam pelayan (server) MyKasih.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, ia peningkatan tiga kali ganda berbanding sebelum ini sebagai persediaan menghadapi trafik tinggi pembelian orang ramai khususnya cuti panjang pada akhir minggu ini dan minggu depan.
“Langkah itu diambil bagi membolehkan pengguna tidak lagi terjejas dengan kelewatan yang berlaku di premis perniagaan hingga meninggalkan barangan dan troli pembelian.
“Kita dapati bahawa terdapat rakyat yang terpaksa menunggu lama. Ada yang tidak boleh menunggu, tidak dapat menyempurnakan pembelian tersebut dan meninggalkan troli di kedai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pihaknya turut memohon maaf kepada pengguna atas isu transaksi SARA yang lewat selepas berlaku lonjakan mendadak penggunaan dalam sistem MyKasih pada cuti hujung minggu lalu.
Johan berkata, isu ini berpunca daripada kapasiti sistem pemprosesan transaksi MyKasih yang tidak dapat menampung permintaan tinggi, bukannya sistem ‘crash’ (sistem gagal).
Menurutnya, proses transaksi SARA termasuk pengimbasan barang oleh juruwang serta pembacaan MyKad di terminal semuanya berfungsi dengan baik.
“Isu yang berlaku hanyalah kelewatan akibat peningkatan mendadak jumlah transaksi,” katanya lagi.
Pada 31 Ogos lalu, seramai 895,000 penerima SARA menggunakan kredit berjumlah RM52.7 juta, manakala semalam sahaja 950,000 penerima membelanjakan RM66 juta.
Secara keseluruhannya, penyaluran SARA mencatat transaksi bernilai RM118.9 juta dalam tempoh dua hari.
Kredit bantuan itu boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 dan MOF akan terus menambah baik sistem setiap hari untuk meningkatkan kapasiti pemprosesan sehingga 20 peratus lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Beliau menambah, pihaknya akan terus meneliti cadangan baharu untuk memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan SARA dengan lebih lancar. – UTUSAN