Selepas melalui pelbagai episod kontroversi rumah tangga yang pernah menjadi perhatian satu negara, pelakon jelita Puteri Sarah kini memilih untuk melangkah ke fasa hidup yang lebih tenang.
Sudah serik dengan drama dan perbalahan, ibu kepada dua cahaya mata ini menegaskan bahawa dia tidak lagi mahu bergaduh atau terlibat dalam sebarang isu sensasi, khususnya yang membabitkan bekas suaminya, pengarah terkenal, Syamsul Yusof.
Bagi Sarah, cukuplah apa yang berlaku sebelum ini. Dia kini mahu memberi tumpuan penuh kepada perkara yang lebih penting iaitu kerjaya, perniagaan, dan tugasnya sebagai ibu dalam membesarkan anak-anak.
“Saya tak nak lagi bergaduh, apatah lagi dengan Syamsul. Dulu kita dah cukup penat melalui fasa itu. Semua orang tahu, isu yang berlaku sebelum ini memang besar dan saya terpaksa bersuara kerana melibatkan hak saya sebagai isteri ketika itu.
“Tapi sekarang, saya rasa tak perlu lagi. Saya dah move on, saya nak fokus kepada benda yang buat saya bahagia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Sarah, pengalaman lalu banyak mengajarnya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan percakapan.
Dia tidak mahu lagi menjadi bahan bualan hanya kerana cepat benar memberi pendapat.
“Saya dah belajar banyak perkara. Apabila kita dalam spotlight, orang perhati setiap gerak-geri kita. Salah sikit saja, orang akan cepat menghakimi.
“Kalau kita bersuara, nanti orang salah anggap dan kata kita nak tumpang populariti orang. Jadi saya pilih untuk diam, lebih baik fokus kepada diri sendiri dan anak-anak.
“Satu lagi, kalau boleh tak nak nama terpalit lagi kontroversi, saya nak orang cakap, ‘Dia berlakon bagus, perniagaan dia bagus, bisnes dia bagus dan produk dia bagus’,”ujarnya.
Pun begitu, Sarah tidak menafikan bahawa satu ketika dahulu dirinya memang lantang bersuara di media sosial, terutamanya ketika memperjuangkan hak wanita dan mempertahankan dirinya dalam kemelut rumah tangga.
Sarah juga berkata, dia kini sedar bahawa perbalahan tidak membawa sebarang manfaat.
Sebaliknya, ia hanya memberi tekanan kepada diri sendiri dan anak-anak.
“Kita pernah berada di posisi yang sangat stress. Apa saja kita buat orang tengok, orang komen.
“Bila dah alami semua itu, sekarang saya cuma nak hidup tenang. Saya nak jaga nama baik, jaga kerjaya, jaga anak-anak. Itu yang utama,” katanya lagi.
TETAP AKTIF
Selain itu, walaupun memilih untuk hidup tenang dan tidak lagi mencetuskan kontroversi, Sarah mengakui tetap aktif dalam industri hiburan.
Malah, jadualnya kini padat dengan penggambaran drama terbaru bersama barisan pelakon hebat seperti Shukri Yahaya, Hanna Delisha, Nadia Brian, Aida Khalida, Layla Nasir dan Haris Hamdan.
“Sekarang tengah sibuk dengan penggambaran, sudah sebulan lebih saya berada di set. Penggambaran drama ini akan berakhir pada bulan 10 nanti.
“Jadi memang padat jadual saya, balik rumah pun terus tidur sebab esok sambung ke set lagi. Memang sekarang saya tak sempat nak fikir benda lain pun,” ujarnya sambil tersenyum.
Selain lakonan, Sarah turut menguruskan perniagaan produk penjagaan kulit miliknya yang semakin mendapat sambutan.
Walaupun sibuk, Sarah mengakui dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
“Saya masih sibuk dengan perniagaan penjagaan kulit wajah jenama saya. Dalam masa yang sama, saya tetap berlakon juga. Jadi kalau balik rumah, memang nak rehat saja, tak ke
mana-mana.
“Kadangkala, kalau ada cuti, saya ambil peluang untuk habiskan masa dengan anak-anak. Kalau ada kerja di luar, saya akan terbang ke Jakarta.
“Ya, saya memang sering sahaja ke Jakarta. Jangan salah sangka, saya pergi untuk urusan perniagaan saya itulah. Kalau tidak, memang waktu cuti saya akan gunakan untuk bercuti dengan anak-anak,” katanya lagi.
Untuk info, Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama Syamsul pada 8 Mac 2014 namun pasangan itu bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 8, dan Sumayyah, 6.