Malaysia Oversight

Wanita Melayu tempatan, bukan Cina

By MkiniBM in September 1, 2025 – Reading time 2 minute
Wanita Melayu tempatan, bukan Cina


Bukit Aman malam tadi menafikan dakwaan pengguna media sosial yang mengaitkan “perempuan Cina” dalam insiden pencerobohan pentas kenamaan sempena sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata polis mengesahkan terkesan dengan penularan dakwaan tersebut di Facebook.

“Polis menyangkal berita tersebut, sebaliknya tangkapan telah dibuat ke atas seorang perempuan tempatan berbangsa Melayu, berusia 41 tahun.

“Ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas tangkapan dan keputusannya ialah negatif,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Semalam majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak terganggu seketika apabila seorang wanita mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang ketika itu berada di pentas utama bersama pemimpin dan orang kenamaan.

Wanita terbabit – yang mempunyai rekod rawatan psikiatri – memasuki kawasan berkenaan dari tepi pentas ketika lagu negeri Perak berkumandang.

Dia kemudian ditahan pihak berkuasa.

Ekoran insiden itu, Timbalan Ketua Pemuda Pusat yang juga Ketua Pemuda Perak, Mohd Hafez Sabri, dikatakan memuat naik hantaran dengan mendakwa penyerang terbabit merupakan seorang wanita Cina.

Bagaimanapun hantaran tersebut dipadamkan tidak lama kemudian.

Selain Mohd Hafez – yang juga Manjoi, Perak – beberapa pengguna media sosial yang lain turut membuat dakwaan yang sama.

Menurut M Kumar, kes penularan berita palsu itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (kenyataan mendatangkan khiatan awam dengan niat mahu menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam), serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagi seksyen 505 (b) itu, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagik Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula, seseorang yang disabitkan bersalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali.

Bagi kes tangkapan pula, kata Kumar, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Polis memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan hantaran tidak benar serta menimbulkan kegentaran awam, selain mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia,” katanya.



Source link