Malaysia Oversight

Cakap bahasa Mandarin dengan kawan, pernah ambil kelas – Nabila Razali

By Utusan in August 31, 2025 – Reading time 2 minute
Cakap bahasa Mandarin dengan kawan, pernah ambil kelas - Nabila Razali


CHERAS: Pelakon dan penyanyi, Nabila Razali berkongsi pernah mengambil kelas belajar bahasa Mandarin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah untuk menambah kemahiran diri. 

Walaupun belum fasih sepenuhnya namun Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 32, mengakui akan berlatih bertutur dalam bahasa Mandarin ketika berbual dengan rakan atau melancong ke luar negara.

“Nak cakap bahasa Mandarin bukan mudah. Saya pernah ambil kelas masa PKP dulu, tapi kekangan masa buatkan saya tak dapat teruskan secara konsisten.

“Kadang-kadang saya cakap sikit-sikit dalam Mandarin dengan kawan, atau masa pergi Taiwan memandangkan saya adalah duta Salam Taiwan. Tak fasih, tapi boleh untuk bercakap. 

“Bagi saya ia bukan sesuatu yang pelik memandangkan saya suka bergaul dengan banyak orang dan belajar daripada mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, jelas Nabila, dia juga pernah melakukan inisiatif menyanyikan semula lagu hit Pematah Hati dalam bahasa Mandarin untuk dinikmati pendengar bukan berbangsan Melayu.

Sejak itu, penyanyi itu tidak menafikan semakin banyak yang mengenalinya khususnya peminat daripada bukan pasaran lagu-lagu Melayu.

“Saya pernah buat cover Mandarin lagu Pematah Hati sebagai satu percubaan untuk memperkenalkan lagu itu kepada bangsa lain bersama Daniel Fong.

“Malah saya juga berkesempatan menyanyikan runut bunyi untuk filem Lee Chong Wei  dan kempen kolaborasi melibatkan pelbagai kaum. Dari situ, ada yang mula mengenali saya di luar kelompok penonton Melayu.

“Saya rasa ini bukan benda asing sebenarnya. Kita hidup bersama, jadi seronok bila projek melibatkan semua kaum. Saya pastikan setiap kali bekerja, ada sifat meraikan kepelbagaian itu,” katanya lagi. 

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi, dia menjadikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idola yang sangat berpengaruh dalam menyatukan bangsa di Malaysia.

“Siti Nurhaliza memang idola saya. Sebagai anak seni, saya mencontohi beliau dan kalau boleh, saya nak cari dan capai apa yang beliau capai. 

“Tapi semuanya perlukan proses,” katanya. -UTUSAN





Source link