Peguam yang mewakili keluarga kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin, yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu, telah menyerahkan rakaman melibatkan seorang saksi yang berada di tempat kejadian kepada polis.
Peguam Naran Singh memberitahu Malaysiakini bahawa rakaman audio tersebut mengandungi butiran mengenai siapa yang berada di tempat kejadian dan apa yang berlaku sebelum kematian Syamsul.
Naran menyerahkan pemacu USB yang mengandungi rakaman audio itu kepada
rakaman audio itu, yang disimpan dalam pemacu USB, diserahkan Naran kepada pegawai kanan polis Fazley Ab Rahman, bersama transkrip rakaman dan gambar yang diambil oleh ibu Syamsul terhadap mayat anaknya sebelum bedah siasat pertama dijalankan.
Naran juga menyerahkan dokumen bantahan terhadap bedah siasat kedua, yang disediakan oleh pegawai penyiasat, Ketua Polis Negara Khalid Ismail, dan dua doktor yang melakukan autopsi pertama.
Menurutnya, dokumen tersebut diserahkan di luar Hospital Kuala Lumpur, iaitu tempat autopsi kedua sedang dibuat.
“Saya telah menyerahkan semua ini kepada polis supaya mereka dapat menjalankan siasatan mendalam dan memberikan keadilan kepada Syamsul,” katanya.
Mayat Syamsul yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor telah digali semula pagi semalam.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lalu, apabila pesuruhjaya kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan permohonan ibu Syamsul.
Pada 14 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun memfailkan permohonannya dengan menamakan Khalid dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar sebagai responden. Dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berikutan kesan kecederaan yang ditemui pada tubuh anaknya.
Dalam permohonannya, wanita itu menyatakan dia mengesyaki wujud unsur jenayah dalam kematian Syamsul.
“Saya sesunguhnya percaya bahawa kematian anak saya adalah disebabkan oleh orang dan/atau orang-orang yang terlibat dalam latihan Palapes di Pulada pada 28 Julai 2025 dan saya juga percaya pelatih-pelatih yang berada bersama anak saya dapat memberi keterangan mengenai apa yang berlaku pada hari itu.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa kecederaan yang terdapat pada mayat anak saya bukanlah kecederaan yang biasa, tetapi adalah disebabkan oleh objek tumpul,” katanya dalam afidavit sokongan untuk permohonan itu.