Malaysia Oversight

Tiada isu kurang bekalan telur lepas subsidi tamat

By MkiniBM in August 30, 2025 – Reading time 2 minute
Tiada isu kurang bekalan telur lepas subsidi tamat


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum menerima aduan berkaitan gangguan bekalan telur di pasaran susulan penamatan sepenuhnya subsidi sejak awal bulan ini.

Timbalan Menteri KPDN, Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan telur sejak 1 Ogos lalu bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Setakat ini kita tidak ada (terima) aduan berkenaan kekurangan telur, tidak ada aduan lagi, kita memantau setiap hari sejak 1 Ogos selepas subsidi telur itu ditamatkan.

“Kita juga ada lagi harga siling untuk telur, setakat ini kita tidak lihat ada masalah bekalan.

“Kenaikan harga pun kita pantau, kalau ada pun masalah bekalan, mungkin bersifat setempat, tapi kalau ada (masalah) sila laporkan segera kepada KPDN,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Komuniti Madani Parlimen Kuantan di Kuantan, Pahang, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya keadaan bekalan telur selepas subsidi ditamatkan.

32c4a8e8190d5c1ed584a2609618d9ad

Penamatan subsidi telur itu diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selepas mengambil kira kestabilan kos pengeluaran dan jaminan bekalan oleh industri.

KPKM bagaimanapun memberi jaminan harga pasaran telur ayam akan terus terkawal walaupun tanpa subsidi.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan KPDN menjelang penebusan Subsidi Asas Rakyat Malaysia (Sara) Rahmah kepada 22 juta penerima bermula esok, Fuziah menjelaskan pihak Kementerian Kewangan sudah dimaklumkan mengenai keperluan untuk menambah terminal khas bagi melancarkan proses penebusan.

“Sebelum ini ada kira-kira 4,000 terminal Sara disediakan MoF dan kita sudah minta tambahan sehingga 7,000 terminal di seluruh negara.

“Kita harap ia dapat diuruskan segera oleh pihak MoF dengan kerjasama pasar raya berkaitan juga,” katanya.



Source link