Malaysia Oversight

70 mangsa kebakaran Putra Heights terima bantuan sewa rumah

By MkiniBM in April 27, 2025 – Reading time 1 minute
70 mangsa kebakaran Putra Heights terima bantuan sewa rumah


telah menyalurkan bantuan bayaran sewa rumah selama tiga bulan kepada 70 mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata bantuan sebanyak RM2,000 sebulan itu disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS) secara pemindahan terus ke akaun mangsa yang terlibat.

“Arahan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari adalah untuk memastikan bantuan ini terus dimasukkan ke dalam akaun mereka. Sebanyak tiga bulan bantuan, iaitu RM6,000, telah disalurkan secara langsung,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran Kampung Angkat Madani: Kampung Labu Lanjut di Sepang, hari ini.

ecdd0a1773176846404bd21a7cbe1522
Borhan Aman Shah

Borhan berkata jumlah penerima bantuan sewa rumah itu dijangka meningkat mulai minggu depan kerana proses pengagihan bantuan sedang dijalankan dengan teliti oleh pelbagai pihak.

“Terdapat beberapa kekangan teknikal kerana bantuan perlu dipindahkan ke akaun mangsa masing-masing,” tambahnya.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata seramai 396 ketua isi rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran di Putra Heights layak menerima bantuan sewa rumah selama enam bulan dengan bayaran RM2,000 sebulan.

Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih daripada 40 peratus, 81 rumah lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

-Bernama



Source link