Malaysia Oversight

Deutsche Welle dakwa wartawannya diancam tentera Israel

By MkiniBM in August 30, 2025 – Reading time 2 minute
Deutsche Welle dakwa wartawannya diancam tentera Israel


Tentera Israel didakwa menyasarkan wartawan Deutsche Welle (DW) di Tebing Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Pasukan DW telah diancam dengan senjata dan ditembak gas pemedih mata oleh tentera Israel ketika membuat rakaman di Ramallah, meskipun mereka memakai pakaian dengan tanda jelas ‘PRESS’,” menurut penyiar antarabangsa Jerman itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Para wartawan terdedah kepada gas pemedih mata namun tidak mengalami kecederaan. Tentera Israel setakat ini belum memberi sebarang ulasan mengenai insiden tersebut.

Menurut DW, pasukan itu sedang mendokumentasikan “risiko yang dihadapi oleh pengamal media” di Tebing Barat dan memerhati kerja seorang wartawan tempatan ketika tunjuk perasaan berlangsung.

Dalam perjalanan ke lokasi, mereka dimaklumkan bahawa tentera Israel sedang menjalankan serbuan di pusat bandar Ramallah.

“Ketika membuat rakaman, tentera Israel mengacukan senjata ke arah mereka,” kata DW. Penyiar itu turut menyiarkan rakaman insiden berkenaan.

a91cae6d36cdf55deea86c3844122402

Serbuan di bandar Palestin Ramallah itu menyasarkan pengurup wang yang dituduh menyalurkan dana kepada anggota kumpulan Palestin Hamas, menurut pihak tentera.

Saksi melaporkan pertembungan antara tentera dan penduduk semasa operasi, dengan tembakan peluru hidup serta gas pemedih mata digunakan.

Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah berkata sekitar 30 orang cedera, sebahagian daripadanya memerlukan rawatan di hospital.

Pada Julai lalu, DW melaporkan bahawa dua kakitangannya telah diserang oleh penduduk peneroka Israel di Tebing Barat. Wartawan dan jurukameranya dibaling batu namun sempat melarikan diri tanpa cedera.

“Serangan berulang terhadap wartawan kami di Tebing Barat adalah sama sekali tidak boleh diterima,” kata Ketua Pengarah DW Peter Limbourg. “Tiada justifikasi untuk mengancam wakil media – sama ada oleh tentera mahupun oleh peneroka radikal.”

– Bernama – dpa



Source link