Kanak-kanak dan bayi termasuk yang baru berusia dua bulan bukan sahaja dibeli seperti barang dagangan malah dijadikan pemuas nafsu songsang sebelum dirakam dan disebarkan ke laman gelap.
Itulah kegiatan jijik sindiket pedofilia yang akhirnya terbongkar menerusi Op Pedo yang dijalankan selama sebulan oleh Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi antarabangsa bermula 19 Julai hingga 19 Ogos lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata lebih menjijikan suspek utama – seorang juruteknik tempatan berusia 29 tahun yang ditahan pada 19 Julai lalu di Johor Bahru – melakukan penderaan seksual termasuk merogol, meliwat dan mendera secara seksual bayi serta kanak-kanak tersebut bagi memuaskan nafsu.
Kumar berkata semua adegan terkutuk bersama mangsa termasuk dua bayi lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia dua bulan hingga lima tahun itu dirakam untuk dijual di laman gelap dan aplikasi Telegram.
Pelangganya pula, kata Kumar, terdiri daripada mereka dari dalam negara dan antarabangsa.
“Modus operandi suspek utama ialah mendapatkan bekalan bayi melalui aplikasi Facebook yang menawarkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat.
“Suspek akan berurusan dengan ibu kandung dengan memberikan wang tunai antara RM1,500 hingga RM3,500 serta melunaskan bil bersalin di hospital,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad.
Kumar berkata ibu kandung mangsa dijaga hingga urusan memperoleh sijil kelahiran yang sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selesai.
Warga asing turut ditahan
Katanya siasatan mendapati satu daripada sijil kelahiran yang dirampas polis memaparkan nama suspek sebagai bapa.
Dia berkata suspek didapati turut mendapat hak penjagaan mangsa sebagai anak angkat yang sah.
Katanya siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.
Lebih mengejutkan, menurut Kumar, suspek dipercayai turut mencari mangsa lain secara rambang dengan menyasarkan kanak-kanak tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga di kawasan kejiranannya.
“Setakat ini polis mengenal pasti dan mengesan tiga mangsa (dari kawasan kejiranan) terdiri daripada kanak-kanak perempuan berumur lima hingga tujuh tahun,” katanya.
Menurut Kumar 10 individu lain telah ditahan bagi membantu siasatan terdiri daripada dua wanita tempatan, dua lelaki dan empat wanita Indonesia, seorang lelaki Myanmar serta seorang wanita Suluk.
Suspek terbabit, katanya, berusia antara 25 hingga 60 tahun.
Pelbagai barangan turut dirampas di rumah suspek termasuk sijil kelahiran, buku ibu mengandung, kad pengenalan, borang kosong JPN, komputer riba dan telefon bimbit.
Kumar berkata tiga kanak-kanak dan dua bayi yang telah diselamatkan itu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya suspek disiasat mengikut Seksyen 5, Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) bagi Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Lima kertas siasatan juga dibuka dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara pada 21 Ogos lepas.
“Polis menasihati ibu bapa dan penjaga kanak-kanak agar sentiasa prihatin dengan pergerakan anak masing-masing memandangkan ancaman pedofilia sukar dikesan dan penjenayah berada dalam kalangan masyarakat,” katanya.
– Bernama