Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menerusi MyKad akan disalurkan mulai 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap kerajaan Madani berkata setiap penerima boleh membelanjakan bantuan yang diberikan itu di 4,500 kedai terpilih di seluruh negara.
“Pada 31 Ogos, sukacita saya beri penegasan dan peringatan bahawa program Sara untuk semua akan bermula dengan setiap orang dewasa warganegara Malaysia akan mendapat RM100 (yang) dimasukkan ke dalam MyKad,” katanya pada sidang media pascamesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi turut menyeru semua warganegara yang layak untuk membuat semakan menerusi portal rasmi Sara iaitu https://sara.gov.my atau laman web rasmi MyKasih yang dibuka mulai 21 Ogos lalu.
“Ini peluang yang baik untuk semua yang berusia 18 tahun ke atas untuk membuat semakan untuk melihat apakah jumlah baki yang ada dan mereka boleh manfaatkan.
“Nilai RM100 yang diagih secara sekali beri ini boleh ditebus di antara 31 Ogos hingga 31 Dis ini,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sara.
Anwar berkata pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu merupakan ikhtiar segera kerajaan meringankan beban sara hidup rakyat selain penghargaan kepada mereka.
Ia memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
– Bernama