Malaysia Oversight

‘Keling kia’ – Calon PRU S’pura mohon maaf guna istilah perkauman

By MkiniBM in April 27, 2025 – Reading time 2 minute
'Keling kia' - Calon PRU S'pura mohon maaf guna istilah perkauman


GLOBAL | Seorang calon pembangkang Pilihan Raya Umum Singapura 2025 terpaksa memohon maaf kepada ahli parti selepas dia menggunakan istilah perkauman ketika berkempen di Woodlands malam tadi.

Menurut laporan media, Gigene Wong, daripada Parti Sosialis Demokratik (SDP) telah menggunakan istilah “keling kia” untuk menggambarkan rakan calon separtinya, Ariffin Sha semasa majlis ceramah yang diadakan di sebuah sekolah rendah.

“Keling” istilah bersifat menghina untuk menggambarkan kaum India, manakala “kia” pula perkataan Hokkien yang merujuk kepada seorang anak atau orang yang lebih muda.

“Saya memohon maaf atas komen yang saya buat semasa ceramah malam tadi yang tidak menghormati rakan calon saya, Ariffin Sha.

“Saya juga faham ia telah menyinggung komuniti India. Saya dinasihati oleh ahli parti saya mengenai perkataan tersebut dan kini saya faham bahawa ia satu penghinaan,” kata Wong melalui hantaran di Facebook pagi ini.

Singapura sedang mengadakan pilihan raya umum, dengan hampir 2.75 juta rakyat Singapura akan mengundi pada 3 Mei ini untuk memilih 97 ahli parlimen di 33 kawasan pilihan raya.

Wong dan Ariffin antara kumpulan calon SDP yang bertanding di kawasan perwakilan kumpulan Marsiling-Yew Tee.

Menurut klip video yang viral daripada ucapan tersebut, Wong merujuk kepada Ariffin sebagai “keling kia” ketika meminta pengundi untuk memilih calon berusia 28 tahun itu, yang digambarkannya mempunyai masa depan yang cerah dalam politik dan boleh menjadi “Pritam Singh” mereka yang seterusnya.

Pritam pemimpin pembangkang Singapura sekarang.

Dalam permohonan maafnya, Wong mengakui komen-komennya itu “sangat menyakitkan dan tidak boleh diterima.”

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atasnya. Ucapan asal saya yang telah disemak tidak mengandungi komen yang saya sebutkan, yang berlaku secara spontan.

“Tiada alasan dan saya mohon maaf atas segala kesakitan dan kemarahan yang telah saya timbulkan.

“SDP parti yang mengutamakan rasa hormat dan kesaksamaan dengan setiap orang diterima.

“Saya telah belajar pelajaran penting daripada insiden itu dan mulai sekarang, saya akan menegakkan nilai-nilai ini dalam kata-kata dan tindakan saya,” katanya.

[Baca berita asal]



Source link