Usahawan yang juga merupakan pemberi maklumat, Albert Tei, memfailkan saman fitnah terhadap Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung kenyataan syarikat itu yang didakwa mengaitkannya dengan penyebaran gambar pegawai syarikat berkenaan bersama sebuah jet peribadi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Tei berkata dia sedang berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SMM.
“Melalui sindiran, kenyataan SMM secara palsu memberi gambaran bahawa saya terlibat atau dikaitkan dengan konspirasi bermotif politik untuk menjejaskan reputasi SMM dan ketua pegawai eksekutifnya (CEO).
“Selain itu, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa saya seorang yang tidak boleh dipercayai dan telah bersekongkol dengan bekas CEO untuk memalsukan dokumen rasmi,” katanya.
Menurut pernyataan tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini, Tei menuntut jumlah yang tidak dinyatakan bagi ganti rugi am atas fitnah bertulis (libel) dan/atau fitnah lisan, serta ganti rugi teruk (aggravated) dan teladan (exemplary).
Dia juga menuntut injuksi bagi menghalang SMM daripada mengulang kenyataan itu serta memerintahkan syarikat berkenaan memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

Pernyataan tuntutan itu mengenal pasti kenyataan yang didakwa fitnah berkenaan sebagai sebahagian daripada kenyataan SMM bertajuk “SMM nafi dakwaan tidak berasas dalam foto jet tular, sahkan ketelusan penuh dan tindakan undang-undang diambil jika perlu” yang dikeluarkan pada 21 Julai lalu.
Kenyataan yang dipertikaikan itu berbunyi:
“SMM mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa kemunculan semula isu ini secara tiba-tiba mungkin bermotif politik kerana ia berkait dengan prosiding undang-undang yang sedang dijalankan oleh SMM terhadap Jontih Enggihon dan usahawan Albert Tei – di mana kedua-duanya sedang disaman atas dakwaan penipuan, pelanggaran kewajipan fidusiari, pemalsuan dokumen rasmi, dan konspirasi untuk mencederakan (syarikat).
“Dakwaan di kalangan orang ramai ketika ini nampaknya hanya mengitar semula isu-isu yang sudah pun dalam penelitian mahkamah dan mungkin sebahagian daripada kempen lebih besar untuk merosakkan syarikat serta pegawainya.”
Tuntutan Tei
Pada 28 Julai, Tei menuntut SMM menarik balik kenyataan itu melalui surat guaman daripada firma Kian Ming Advocates & Solicitors.
Surat tersebut turut menuntut agar syarikat berkenaan menerbitkan permohonan maaf terbuka di akhbar utama serta membayar pampasan (jumlah tidak dinyatakan) atas kerosakan imej, penghinaan dan tekanan yang dialami Tei.
Sementara itu, Jontih, bekas CEO SMM, mengambil langkah serupa dengan mendakwa kenyataan syarikat itu telah memfitnahnya dan menuntut pampasan berjumlah RM10 juta.
Mengulas lanjut, Tei berkata dia telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam isu berkenaan.
“Walaupun SMM telah memfailkan saman sivil terhadap saya—yang masih berjalan—kenyataan awam pada 21 Julai itu adalah mengelirukan, berat sebelah dan sub judice terhadap kes yang sedang berlangsung di mahkamah.

“Penerbitan ini telah merosakkan nama baik saya. Saya tidak akan menggadaikan integriti atau membiarkan tuduhan tidak berasas tanpa dibalas,” katanya.
Foto kontroversi
Bulan lalu, gambar CEO SMM Natasha Sim, setiausaha syarikat Emily Chong, dan taikun balak Sabah Elbert Lim berdiri di samping jet tersebut tular.
Ia mencetuskan persoalan daripada beberapa ahli politik Sabah mengenai tujuan penerbangan itu serta kemungkinan berlakunya rasuah atau konflik kepentingan.
SMM kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang salah laku dan menjelaskan bahawa gambar tersebut diambil pada Ogos 2024 ketika lawatan kerja ke Indonesia.
Tahun lalu, SMM memfailkan saman mendakwa Jontih dan Tei melakukan penipuan, pelanggaran kewajipan fidusiari, pemalsuan dokumen rasmi, serta konspirasi untuk menjejaskan syarikat.
Susulan saman itu, pada November tahun lalu, Jontih membuat laporan polis mendakwa Sim menerima perjalanan menaiki jet tanpa dmemaklumkannya kepada pihak pengurusan atau lembaga pengarah SMM.
Dia mendakwa kos perjalanan itu dianggarkan RM400,000 dan melibatkan Sim, suaminya, Lim serta dua anak Lim.
Sim menafikan dakwaan tersebut, manakala SMM menegaskan siasatan dalaman tidak menemui sebarang bentuk salah laku.