Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata dia masih belum menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung siasatan membabitkan dakwaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terhadap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.
Dakwaan itu berkaitan tuduhan bahawa presiden Bersatu itu mempertahankan pemberian subsidi RON95 kepada warga asing.
“Saya masih belum terima,” kata Fahmi ringkas ketika ditanya Malaysiakini pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ditanya bila laporan penuh akan diserahkan, Fahmi berkata: “Kamu kena rujuk kepada MCMC”, sebelum dia beralih kepada soalan lain.
Siasatan MCMC itu kini sudah berlarutan hampir sebulan.
MCMC merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Komunikasi yang bertanggungjawab mengawal selia dan memajukan industri komunikasi dan multimedia, termasuk telekomunikasi, penyiaran, internet serta pos, selaras dengan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Sebelum ini, Anwar mengesahkan dia masih belum menerima laporan penuh daripada MCMC. Menurutnya, sebarang keputusan – termasuk sama ada perlu memohon maaf kepada Muhyiddin – hanya akan dibuat selepas laporan lengkap diperoleh dan diteliti.
Awal bulan ini, Anwar mendakwa di parlimen bahawa Muhyiddin mempertahankan pemberian subsidi bahan api kepada warga asing dengan alasan mereka juga menyumbang kepada negara.
Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan dakwaan tersebut. Anwar kemudian mengarahkan MCMC menyiasat isu berkenaan, dengan tumpuan kepada sebuah video TikTok yang menjadi sumber dakwaan itu.
Hal itu menimbulkan persoalan sama ada Anwar sebenarnya terpedaya dengan maklumat palsu daripada video Tik Tok berkenaan.
Anwar selepas itu menyatakan kesediaan untuk memohon maaf kepada Muhyiddin, namun hanya selepas MCMC mengesahkan kesahihan maklumat yang diperolehnya.
Anwar juga mendakwa dia mempunyai tiga sumber maklumat, yang mana salah satu telah disahkan palsu, manakala dua lagi tidak jelas.
Untuk rekod, pada 7 Ogos lalu, MCMC memanggil Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung kandungan yang dimuat naik ke sebuah akaun TikTok.
Sehingga kini, MCMC belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut, termasuk ketika dihubungi Malaysiakini.
Malaysiakini telah menghubungi MCMC sejak dua minggu lalu bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai siasatan terbabit.