Bekas pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau telah mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ) untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Azim Shamsuddin.
Dia menuduh Azim gagal mentafsir dengan betul bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan ketika membuat keputusan mengarahkan dua premis ditutup selama 30 hari atas alasan kesalahan mempamerkan bendera negara dan negeri.
“Kenyataan akhbar dan tindak laku Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) berkenaan perintah memberhentikan operasi selama 30 hari kepada dua premis di Pontian dan Pekan Nenas sebab kesilapan mengibarkan bendera Malaysia dan Negeri Johor dipercayai telah melampaui bidang kuasa PBT (pihak berkuasa tempatan) yang diperuntukkan oleh Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) dan undang-undang lain.
“YDP Majlis Perbandaran Pontian melalui kenyataan akhbar telah mempertahankan pendiriannya bahawa sebuah premis pasaraya mini di Pekan Nanas dan sebuah klinik pergigian di Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan bendera Johor dan bendera Malaysia secara terbalik berasaskan Undang-undang Kecil 49(2) MPPn. Kononnya UUK 49(2) memberi kuasa kepada beliau untuk menutup mana-mana premis yang “melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil” tanpa rujuk kepada Seksyen 72 dan Seskyen 73 Akta Kerajaan Tempatan yang mentafsirkan bidang kuasa kerajaan tempatan,” kata Boo pada satu kenyataan.

Namun, Boo yang juga setiausaha publisiti DAP cawangan Taman Ungku Tun Aminah mendakwa kenyataan media Azim telah mengelirukan orang ramai.
“Bahawa bidang kuasa PBT dan lingkungan Undang-undang kecil PBT termaktub dalam peruntukan-peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Bidang kuasa dan kuasa pelesenan PBT terhad kepada insiden yang melibatkan kacau ganggu, kesihatan dan kebersihan awam dalam kawasan PBT, yakni termaktub dalam Seksyen 72 dan 73 Akta 171.
“Maka syarat-syarat pelesenan dan Undang-undang kecil terhad oleh peruntukan-peruntukan Akta 171, juterusnya tindakan penguatkuasaan PBT dan Undang-undang kecilnya tidak sewajarnya mengatasi pembatasan bidang kuasa termaktub dalam Akta 171,” kata Boo.

Boo berkata kuasa untuk memantau dan mengawal cara mempamerkan lambang negara atau negeri serta mengibarkan bendera negara atau negeri adalah diperuntukkan dalam Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamerkan) 1949 (Akta 193), yang bermakna penguatkuasaan akta tersebut adalah di bawah bidang kuasa polis.
Tegasnya, kes berkaitan isu itu mesti ditentukan oleh pendakwa raya sama ada untuk dibawa ke mahkamah selepas siasatan polis dijalankan.
“Maka PBT tidak diberikan sebarang kuasa oleh mana-mana akta parlimen termasuk Akta Kerajaan Tempatan untuk menghukum kesalahan tersabit dengan akta ini.
“Oleh yang demikian, tindakan dan kenyataan YDP MPPn telah mengatasi pembatasan kuasa yang diberikan oleh peruntukan-peruntukan Akta 171 serta mencerobohi bidang kuasa Akta 193,” tambahnya.

Sehubungan itu, Boo berkata dia telah mengemukakan petisyen untuk menggesa SPAJ menjalankan siasatan tatatertib terhadap kenyataan dan tindakan presiden berkenaan selaras dengan Seksyen 4 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Ahli politik DAP itu berkata siasatan itu perlu menentukan sama ada tindakan dan kenyataan Azim mencemarkan perkhidmatan awam dengan menyalah tafsir Akta 171 dan 193, atau jika dia cuai kerana tidak mengetahui bidang kuasanya serta gagal mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang negeri sebelum mengeluarkan arahan penutupan.
“Oleh yang demikian, seruan bagi pihak terlibat untuk membuat rayuan kepada PBT supaya mengurangkan hukuman berkaitan adalah tidak berasas kerana perintah penutupan premis berkenaan tidak sahih ataupun ultra vires. Di sebaliknya.
“MPPn sewajarnya menarik balik perintah penutupan premis berkenaan sebelum semakan kehakiman di failkan dalam mahkamah,” kata Boo.