ULASAN | Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kini menjadi topik hangat apabila muncul dakwaan ia mengandungi agenda tersembunyi parti DAP.
Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah usaha mengubah demografi kawasan bandar dan separa bandar bagi memberi kelebihan politik jangka panjang kepada parti tersebut.
Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, memberi amaran bahawa perjuangan DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin tercapai sekiranya RUU itu diluluskan.
Presiden Putra, Ibrahim Ali, pula menyifatkan ia sebagai “senjata moden pengusiran senyap” yang bakal memberikan kuasa luar biasa kepada pemaju untuk menghalau rakyat kecil dari bandar.
Sebelum dakwaan PAS dan Putra, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sudah memberi isyarat tentang usaha menyusun semula demografi melalui Proklamasi Orang Melayu pada Mac 2023. Namun, agenda pengurusan perumahan bandar sebenarnya sudah bermula lebih awal.
Sekitar 2014–2015, kerajaan negeri Selangor telah menjalankan kajian mengenai isu perumahan kos rendah. Delegasi negeri ketika itu membuat lawatan ke Housing Development Board (HDB) di Singapura untuk meneliti model perumahan awam negara jiran, idola DAP.
Pada Januari 2023, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pula mengusulkan supaya pakar HDB dibawa masuk untuk membantu kerajaan Malaysia mengurus pembangunan bandar. Cadangan ini dilihat sebagai kesinambungan idea lama yang tergendala apabila Mahathir sebagai PM ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir buat kali pertama.
Kini Mahathir bukan lagi PM, dan Nga Kor Ming naik jadi Menteri KPKT dan kembali melaksanakan tugasnya. Adakah ini sekadar kebetulan, atau ada kesinambungan strategi yang sedang berjalan?
Politik DAP: Naratif pembangunan
Pulau Pinang sejak dahulu dijadikan mercu tanda kejayaan politik DAP. Idea ‘The Greater Penang’ bukan sahaja berorientasikan pembangunan sosial dan ekonomi, tetapi juga strategi politik untuk menonjolkan imej pentadbiran yang cekap dan berintegriti.
Inilah cara DAP berpolitik: bukannya dengan retorik kaum atau agama, tetapi dengan naratif pembangunan dan ekonomi yang lebih mudah membeli jiwa dan dirasai oleh pengundi. Projek mega seperti terowong bawah laut Pulau Pinang, misalnya, bukan hanya soal pembangunan, tetapi juga usaha membina legasi politik serta menyaingi rekod pembangunan era Mahathir.

Kedudukan kerusi Parlimen DAP juga banyak tertumpu di kawasan bandar dan separa bandar di pantai barat Semenanjung — dari Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka hingga ke Johor. Kawasan-kawasan inilah yang menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dan kepadatan penduduk.
Apabila isu persempadanan semula dibangkitkan, ramai pemerhati politik menjangka keuntungan besar akan memihak kepada parti-parti bandar, khususnya DAP.
Di sinilah isu sebenar bermula.
Bahagian 3 Draf RUU URA mengenai pembangunan semula bandar memperuntukkan kuasa besar kepada kerajaan untuk menentukan kawasan yang hendak dibangunkan. Ambang persetujuan yang ditetapkan ialah:
-
80% bagi bangunan berusia 30 tahun atau kurang;
-
75% bagi bangunan berusia lebih 30 tahun;
-
51% bagi bangunan yang ditinggalkan;
-
Bawah 51% jika ada laporan profesional jurutera yang mengesahkan keadaan bangunan.
Sedangkan, pada masa ini Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 mensyaratkan resolusi sebulat suara daripada pemilik sebelum sebarang kerja pembaharuan boleh dilaksanakan.
Jika draf URA ini diteruskan tanpa pindaan, kesannya besar: pembangunan berskala besar akan berlaku, dan hampir mustahil golongan B40 mampu tinggal di kawasan yang telah dinaik taraf. Migrasi besar-besaran golongan B40 ke pinggir bandar boleh menjadi realiti.
Di sinilah URA dilihat berperanan sebagai nilai tambah kepada persempadanan semula kawasan pilihan raya. Ia bukan sekadar instrumen pembangunan, tetapi berpotensi menjadi alat bagi mengubah demografi sosial dan ekonomi bandar secara kekal. Serampang dua mata: membangunkan bandar sambil mengukuhkan kedudukan politik.
Persoalannya, benarkah RUU PSB satu akta untuk membela golongan miskin bandar? Atau adakah golongan ini hanya dijadikan alasan untuk melaksanakan agenda lain yang lebih halus?
Tuan Ibrahim menyentuh tentang pilihan raya kerajaan tempatan. Walaupun hujahnya agak kabur, tetapi kita perlu sedar bahawa ramai pemimpin DAP kini dilatih daripada bawah sebagai ahli majlis PBT. Antara yang bermula di PBT dan kini menjadi Ahli Parlimen ialah MP Bentong, MP Bukit Bendera, MP Bukit Mertajam, serta beberapa nama lain yang sedang berkhidmat.
Sekiranya suatu hari nanti pilihan raya PBT dikembalikan, tidak mustahil akan muncul Datuk Bandar atau Yang Dipertua oleh mereka yang berwajah Melayu dan ahli DAP, ini bukan hal yang mustahil.
RUU PSN membuka ruang persoalan yang besar: adakah ia benar-benar undang-undang pembangunan untuk membela rakyat? Atau adakah tanpa URA maka pembangunan tidak boleh dibuat dan miskin bandar tak dapat dibantu?
Apa yang pasti, pembangkang tidak boleh hanya meniupkan sentimen untuk menentangnya. Sebaliknya, mereka perlu merangka hujah, cadangan, dan strategi yang lebih bijak untuk menyaingi percaturan politik ini.
MAHDZIR IBRAHIM merupakan ahli Bersatu dan beekas pemimpin DAP.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.