Isteri kepada Allahyarham Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid mengemukakan aduan kepada Suruhajaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung ancaman dihadapinya membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak kerajaan.
Aduan dibuat berhubung integriti institusi di negara ini, kedaulatan undang-undang serta hak setiap rakyat seperti mana dijamin Perlembagaan.

“Kedaulatan undang-undang tidak memberikan apa-apa makna sekiarnya agensi penguatkuasa dikecualikan daripadanya. Tanpa akauntabiliti, kuasa dijadikan alat untuk penganiayaan, bukan perlindungan.
“Tidak seorang rakyat pun merasakan bahawa keadilan tertakluk kepada kepentingan politik dan bahawa kuasa kerajaan boleh digunakan tanpa pengawasan.
“Saya tidak menyangka diri saya akan menjadi pembela prinsip ini, namun saya sedar akan kepentingannya kepada kita semua. Tanpanya tiada seorang pun daripada kita yang selamat,” katanya selepas menyerahkan aduannya di ibu pejabat suruhajaya itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Aduan itu diserahkan kepada Pengerusi Suhakam, Mohd Hishamudin Md Yunus.

Nai’mah ditemani peguamnya Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal.
Melalui aduan itu Na’imah berharap pihak Suhakam dapat bertindak.
“Inilah sebab saya hadir di sini hari ini dan meminta Suhakam bertindak. Tanpa perlindungan sedemikian demokrasi kita berdepan risiko,” tambahnya.
Na’imah kini berdepan tindakan daripada pihak berkuasa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dalam usaha menyita segala aset milik Daim, keluarga dan sekutunya di dalam dan luar negara.
Pada 25 Jun lalu, SPRM membuat beberapa permohonan bagi melucut hak beberapa harta milik Allahyarham Daim dan isteri serta proksi mereka. Ini termasuk Menara Ilham.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu peguam Rajesh berkata, aduan Na’imah berhubung penyalahgunaan kuasa tersebut membabitkan SPRM, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Jelasnya, Na’imah berharap laporan berkenaan mendapat perhatian Suhakam khususnya berhubung isu penyalahgunaan kuasa.