Malaysia Oversight

Saya akur arahan Guan Eng tubuh syarikat, buka akaun bank

By MkiniBM in August 28, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Saksi utama dalam kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau berkhidmat untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagi memastikan semua urusan berhubung penubuhan syarikat dan pembukaan akaun bank dapat dilaksanakan.

Ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja, 44, berkata demikian semasa disoal peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang melibatkan Ahli Parlimen Bagan itu.

591766ccab32d2813d4a66952981a4c9
Ramkarpal Singh

Ramkarpal: Mengapa awak (Gnanaraja) benarkan syarikat Bumi Muhibah Capital Sdn Bhd milik awak digunakan untuk melakukan kesalahan?

Gnanaraja: Bagi saya ketika itu, saya sedang berkhidmat untuk Ketua Menteri (Lim). Jadi saya perlu laksanakan untuk beliau.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata beliau hanya bertemu Lim sebanyak dua kali pada 2017 dan Lim memintanya menubuhkan sebuah syarikat dan membuka akaun bank untuk menerima bayaran berhubung projek tersebut.

Sementara itu, Gnanaraja tidak bersetuju dengan Ramkarpal bahawa syarikat Bumi Muhibah ditubuhkan untuk penipuan.

Ramkarpal: Kamu katakan di mahkamah, YB Lim Guan Eng ada minta kamu untuk menyediakan syarikat dan akaun bank. Ini adalah pembohongan kerana syarikat itu (Bumi Muhibah) ditubuhkan lebih awal iaitu pada 2016 manakala YB Lim meminta anda membuka akaun bank syarikat itu pada 20 Ogos 2017.

Gnanaraja: Saya tidak menipu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

cb8e6dde0ab1f1d1015943afb68a2f2b
Gnanaraja bersama Zarul Ahmad

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 Okt depan.

– Bernama



Source link